GPS hantar satu nama calon PM kepada Agong

Oleh NASUHA RAHMAN

Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendedahkan parti itu telah mengemukakan satu nama sahaja calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agung (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sokongan terhadap calon Perdana Menteri telah diputuskan sebulat suara dalam kalangan pemimpin-pemimpin mereka.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama calon Perdana Menteri yang dipilih mereka.

“Kami sudah mengemukakan nama kepada Istana Negara tetapi saya tidak boleh mendedahkan siapa…saya tidak boleh mendahului Agong,” katanya dipetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perjumpaan khas bersama Ahli Parlimen GPS di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching hari ini.

GPS menggabungkan empat parti tempatan Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mempunyai 18 kerusi Parlimen.

Daripada jumlah itu, PBB mempunyai 13 kerusi; PRS dan PDP masing-masing dua kerusi dan SUPP satu kerusi.