Malaysia Dateline

Amar Abang Johari Tun Openg

GPS patuhi keputusan Agong

Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS)akan mematuhi segala keputusan yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Melalui kenyataan media daripada Pejabat Ketua Menteri Sarawak (CMO), Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg telah memberi jaminan kepada rakyat Sarawak bahawa segala keputusan yang diambil oleh Kerajaan GPS akan menjadi kepentingan negara tanpa mengorbankan hak dan kepentingan di negeri ini.

“Apa yang paling penting ialah Malaysia mesti mempunyai kestabilan politik agar negara dapat maju ke hadapan,” jelas kenyataan itu pada Rabu.

Kenyataan itu turut menyatakan negara kini sedang menghadapi masalah ekonomi yang timbul akibat ketidaktentuan termasuk wabak Covid 19 yang mesti ditangani secara bersungguh-sungguh dan cepat.

Sementara itu, lewat petang semalam Yang di-Pertuan Agong telah selesai menemubual 221 ahli parlimen dari kesemua 222 orang dipercayai bagi maksud mendapatkan kepastian mereka sama ada mahu menyokong kepimpinan Mahathir Mohamad atau mengadakan pilihan raya baharu.

BN dan Pas semalam sepakat untuk mengadakan pilihan raya baharu. Jumlah mereka kini ada 60 kerusi.

Bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen PH dilaporkan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka. Jumlah ahli parlimen ketiga-tiga parti yang tinggal dalam PH kini adalah 92 orang.

Lain-lain parti termasuk Bersatu, GPS, Warisan dan Bebas menunjukkan sokongan kepada Mahathir. Jumlah mereka pula adalah 70 orang.