
GPS ‘sabotaj’ rakyat Sarawak
Kerajaan Parti Gabungan Sarawak (GPS) disifatkan sebagai ‘mensabotaj’ rakyat Sarawak daripada menerima pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan di negeri ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen berkata, rakyat khususnya penduduk di luar bandar dan pedalaman adalah layak mendapat inisiatif yang disalurkan kerajaan pusat di bawah PH.
Katanya, selepas PH berjaya menjadi kerajaan pusat selepas Pilihanraya Umum (PRU) Ke-13 lalu, tugas dan amanah untuk memajukan rakyat pelbagai lapisan kaum dan masyarakat merupakan fokus utama Kerajaan PH.
“Tugas utama kita (PH) ialah membawa kemajuan dan pembangunan serta menaikkan taraf hidup sosioekonomi rakyat di negeri ini.
“Namun segala inisiatif dan bantuan yang disediakan kerajaan pusat tidak sampai kepada rakyat kerana kekangan oleh kerajaan negeri.
“Sebab itulah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) ditubuhkan bertujuan untuk menyalurkan makkumat berkaitan sumbangan, bantuan dan inisiatif untuk membantu keseluruhan rakyat di Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada masyarakat India di Dewan Pertubuhan India Kuching (IAK) di Kuching hari ini.
Sumbangan tersebut adalah bersempena dengan sambutan Perayaan Deepavali bagi komuniti masyarakat India di Kuching.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pending, Violet Yong,Pemangku Pengerusi Pertubuhan India Kuching Ratha Terumall dan seramai 70 penerima sumbangan masyarakat India di sekitar Kuching.
Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan, GPS terlalu mementing diri sendiri dalam meraih sokongan politik sehingga menidakkan hak rakyat untuk menerima segala bantuan daripada kerajaan pusat.
Tegas beliau, MPKKP adalah platform untuk memartabat dan memperkasa hak rakyat bagi mendapat limpahan pembangunan selepas kerajaan negeri dilihat gagal mengurus dengan baik.
“Biarlah rakyat yang membuat pilihan untuk menentukan hak mereka yang sebenarnya.
“Janganlah cuba hendak menakut-nakutkan rakyat yang penubuhan MPKKP akan memecah-belahkan penduduk.
“Sebaliknya mereka (rakyat) akan tahu siapakah yang sebenarnya bekerja demi membangunkan kawasan terutamanya masyarakat di kampung-kampung dan d rumah-rumah panjang,” tambahnya.
Pada masa sama, Chong turut menafikan bahawa penubuhan MPKKP di Sarawak bakal menghakis hak anak-anak Sarawak atau merupakan ‘agen’ Kerajaan PH menawan negeri seperti yang diulas oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam.
“Tiadapun Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengatakan bahawa penubuhan MPKKP adalah untuk menawan Sarawak.
“Anda boleh tengok kembali video yang diambil oleh RTM.Dalam ucapan itu, beliau (Lim Guan Eng) dengan jelas menyatakan MPKKP merupakan saluran bagi memartabat dan memperkasa hak rakyat di negeri ini, ” jelasnya.
Sebelum itu, Ketua Abang Johari berkata rahsia penubuhan MPKKP oleh PH telah terbongkar ketika diminta mengulas ucapan Lim Guan Eng pada Konvensyen DAP di Miri,malam kelmarin.
“Hari ini saya baca mereka kata MPKKP senjata untuk menawan Sarawak. Ini Malaya cakap. Rahsia sudah keluar,” ujarnya.
Tambah Abang Johari, bukan sahaja minyak, tanah negeri ini juga akan dirampas jika PH mengambil alih negeri ini.