Malaysia Dateline

GPS sepatutnya desak RUU Pindaan Sabah, Sarawak dibentang Mei depan

Kerajaan Negeri Sarawak perlu mendesak agar Rang Undang-undang (RUU) pindaan Perkara 1(2) dibentangkan segera menjelang Persidangan Dewan Parlimen bermula 18 Mei depan, bukannya mennyerahkan  keputusan kepada kerajaan baharu Perikatan Nasional untuk di bawa ke Dewan Rakyat.

Menurut Setiausaha Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak, Fadillah Sabali, desakan itu adalah bagi meletakkan status dan hak sebagaimana yang rakyat Sarawak inginkan setelah taraf diturunkan oleh kerajaan di bawah Barisan Nasional pada 1976.

Namun, tegasnya Sarawak wajib memastikan pembentangan kali ini mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen  yang mana sebelum ini pindaan yang dibentangkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditolak sepenuhnya oleh BN dan Pas termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada penggal sidang Dewan Rakyat yang lepas.

“Pada persidangan kali ini, Sarawak sepatutnya lebih mudah mendapatkan hak-hak yang ‘tertangguh’ akibat perbezaan pemahaman politik semasa zaman PH dahulu.

“Maka sebagai rakyat Sarawak, kita ingin melihat peluang ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan GPS,” jelas beliau ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg semalam.

Dalam kenyataannya, Abang Johari dipetik sebagai berkata, Sarawak menyerahkan kepada Kerajaan Persekutuan jika hendak membentangkan semula pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada Persidangan Dewan Rakyat, 18 Mei depan.

Beliau menjelaskan, Ahli-ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia jika ia dibentangkan, sambil menegaskan beliau tidak maklum mengenai perkara itu.

“Saya tidak tahu, memang pada mulanya ia (Pindaan Perkara 1(2) akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Rakyat Mac ini, Parlimen baharu (ini).

“Kalau nak bentangkan semula, bentangkanlah…kalau Kerajaan Persekutuan kata tunggu dulu, kita tunggu,” ujarnya.

Sementara itu, Fadillah menegaskan, sekiranya pembentangan RUU pindaan kali ini gagal, ia mencerminkan Ahli Parlimen dari Sarawak sendiri yang tidak serius untuk mengangkat martabat Sarawak sebagai wilayah yang mempunyai rakan kongsi yang membentuk Malaysia

“Malah, segala peruntukan yang dikatakan ditarik balik atau projek-projek yang dibatalkan mestilah didapatkan semula agar pembangunan semakin rancak dan segera dapat disiapkan di negeri ini,” tambahnya lagi.

MA63 ditandatangani di London pada 7 Julai 1963 yang menjadi detik permulaan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Perjanjian Malaysia diperkenankan pemerintah tertinggi British, Queen Elizabeth II, disusuli Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Harun Putra Syed Hassan Jamalullail pada 26 Ogos 1963.

Bertitik tolak daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itulah diwujudkan Akta Malaysia yang kini sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

MA63 pernah dipinda dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1976 menyebabkan status rakan sekutu bertukar kepada negeri menyebabkan kedua-dua wilayah yang pernah bergelar negara (diulang: negara bukan negeri) itu sama status dengan negeri lain di Semenanjung.