Malaysia Dateline

GPS tetap sokong kerajaan PN

Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui negara ini.

Menurut Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS, pihaknya yakin terhadap kerajaan PN di bawah kepimpinan Muhyiddin yang memberi penekanan kepada pentingnya kestabilan negara.

Katanya, kebijaksanaan perdana menteri dalam menangani isu pandemik Covid-19 harus dipuji serta diberi kerjasama dalam melaksanakan hal-hal berkaitan.

“Saya percaya kalau negara kita stabil, kita dapat menghadapi cabaran yang lebih besar selepas ini. Kerjasama antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Persekutuan begitu akrab, begitu juga dengan hubungan dengan penjawat awam di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perjumpaan khas perdana menteri bersama penjawat awam Sarawak dan Persekutuan, di Kuching hari ini.

GPS yang dipimpin Abang Johari dan dianggotai empat parti tempatan yang membentuk Kerajaan Negeri Sarawak masih kekal sebagai sekutu PN yang dipengerusikan oleh Muhyiddin bagi membantu membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti lain dalam GPS yang ditubuhkan pada Jun 2018 sebaik Barisan Nasional (BN) tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Muhyiddin tiba di Kuching hari ini bagi mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Sarawak.