Malaysia Dateline

GPS tidak capai sasaran selesaikan banyak isu di pedalaman Sarawak

Secara asasnya masalah air merupakan yang paling menjadi tumpuan penduduk di luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

Selepas 56 tahun menjadi kerajaan yang gagal digugat oleh mana-mana parti lawan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) adalah tunjang di sebalik gabungan parti pemerintah sedia ada di negeri ini.

Sebelum dikenali Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, PBB adalah sebuah parti yang cukup mesra dengan UMNO, MCA, MIC yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia yang dikenali Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, selepas BN berjaya ditumbangkan pada PRU14, PBB memilih untuk ‘bersendirian’ tanpa mahu berkerjasama dengan parti pemerintah iaitu Pakatan Harapan (PH).

PH terdiri daripada AMANAH, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Bersatu.

Ketika itu, pemimpin PBB sering melaungkan bahawa Sarawak bukan ‘ulun’ Malaya dek kerana tidak mahu dipimpin oleh parti-parti yang berpangkalan di Semananjung.

Namun tidak semena-mena, kerajaan bertukar tangan setelah 22 bulan di bawah Kerajaan PH diambil alih Perikatan Nasional (PN) melalui ‘pintu belakang’ dengan meraih sokongan Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.

Diringkaskan kronologi tertubuhnya kerajaan baharu PN, maka PBB dan gabungan sekutunya di Sarawak tiba-tiba bertukar pendirian.

Daripada slogan ‘ulun’ beralih kepada ‘amat mesra’ Malaya ibarat kasih bertaut kembali bersama ‘Abang Besar’ UMNO selepas 22 bulan sepi di Putrajaya.

Mengambil langkah drastik, PBB bersama sekutunya di Sarawak iaitu SUPP, PRS dan PDP sanggup ‘menggadaikan maruah’ apabila memeterai MoU dengan UMNO, MIC, MCA termasuk PAS pada Mac lalu.

Umpama ‘sudah diludah dijilat balik’, itulah sikap sebenar GPS yang cuba mengaburi mata rakyat di negeri ini demi survival pemimpin mereka sendiri tanpa menghiraukan nasib rakyat di luar pedalaman yang begitu mengharapkan masalah yang dihadapi mampu diselesaikan.

Realitinya, nasib rakyat di kawasan Semop, Beting Maro, Lingga, Kabong dan Saribas (sekadar menyebut beberapa kawasan), ternyata amat daif kemudahan yang mereka terima.

Masalah air, elektrik, jambatan dan jalan raya adalah kemudahan asas yang seolah-olah tiada penghujungnya di kawasan tersebut.

Justeru, benarlah apa yang diluahkan Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali bahawa GPS tidak mencapai sasaran dalam menyelesaikan banyak isu di kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop.

Menurut beliau, kampung di kawasan Semop amat terjejas dengan masalah air yang melanda sehingga hari ini lebih-lebih lagi menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Katanya, selain isu air yang berpanjangan, terdapat kampung yang turut tidak menerima bekalan elektrik 24 jam.

“Bayangkan penghuni di Kampung Mupong yang rata-ratanya diduduki kaum Iban hanya menggunakan generator selama ini.

“Belum lagi, jika tengok isu lain di kampung berdekatan seperti masalah jambatan daif, tiada klinik berdekatan, lampu jalan, geran pemilikan tanah dan kawasan penempatan yang terhad.

“Malah penduduk Kampung Paloh dan Mupong terpaksa menggunakan bot kerana tiada ekses jalan darat untuk berurusan di luar terutamanya di Mukah dan Sibu,” tegas beliau yang juga merupakan Ketua AMANAH Kawasan Tanjung Manis.

Fadillah menjelaskan, Semop berpontensi sebagai ‘gedung’ hasil nelayan dan petani sekiranya kerajaan serius untuk membantu penduduk yang mengharapkan kerja berkenaan sebagai mata pencarian.

“Sebenarnya, banyak hasil laut dan petani yang tidak dapat di pasarkan kerana tiada akses jalan raya yang sempurna di sini walaupun sudah diumumkan oleh kerajaan negeri sebelum beberapa pilihan raya lalu,” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, Fadillah mengharapkan agar PRN Ke-12 nanti, akan ada perubahan meniti di kawasan DUN Semop demi kelansungan rakyat mengembalikan hak yang telah lama diabaikan itu.