Malaysia Dateline

GPS tolak gandingan dengan PN dalam PRN12

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak gandingan dengan komponen parti dalam Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) nanti.

Memetik Bernama, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, GPS menolak rundingan dan meletakkan calon komponen PN di negeri ini.

Justeru, katanya mana-mana parti yang bukan berasal dari Sarawak, sama ada yang berkongsi perjuangan yang seiring dengan GPS di peringkat nasional atau sebaliknya, tidak diperlukan untuk masuk dan bertanding dalam pilihan raya negeri ini.

“Biarkan parti dari Sarawak yang jaga negeri sama ada Umno, Bersatu, Pas, DAP atau PKR. Mustahil (boleh masuk ke Sarawak). Lihat di negeri-negeri lain sahajalah, tidak perlu datang Sarawak,” katanya.

Parti komponen PN terdiri daripada Bersatu, Umno, Pas, MCA, MIC dan beberapa parti lain di Sabah selain kumpulan Datuk Seri Azmin Ali.

Susulan pendirian PBB itu, hajat Pas dan Bersatu meletakkan calon pada PRN12 akan datang tidak menjadi kenyataan walaupun telah beberapa kali sebelum ini Pas Sarawak menyatakan mahu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro dan beberapa kawasan lain majoriti Melayu/Melanau Islam.

Berdasarkan Perlembagaan Negeri, PRN12 Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, dan penggal ke-11 DUN Sarawak ini akan tamat pada 6 Jun nanti.

Bagaimanapun, sebarang Pilhan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak boleh diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan proklamasi darurat sehingga 1 Ogos depan.

Pengisytiharan itu dilihat sebagai langkah dalam usaha memutuskan rangkaian Covid-19 di Malaysia yang kini memasuki gelombang ketiga setelah merekodkan kes harian yang tinggi.