Malaysia Dateline

GPS vs PH Sarawak, siapa bawa perubahan?

Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-12 semakin hampir dan dijangka dibubarkan menjelang sambutan Hari Malaysia pada September ini. Hari pengundian pula selewat-lewatnya minggu pertama pada Oktober.

Ini adalah Pilihan Raya DUN Sarawak yang pertama bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas nama baharu.

Lantas, umum mengetahui GPS sebelum ini adalah komponen dalam Barisan Nasional (BN) dan jelas ia merupakan penjenamaan semula bertujuan untuk difahami oleh para pengundi.

Sebagai rekod, penjenamaan ini adalah impak daripada tersungkurnya BN buat pertama kalinya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Parti yang berkuasa lebih enam dekad itu kalah kepada Pakatan Harapan (PH) dengan menyaksikan pembangkang buat pertama kali juga berjaya mentadbir negara.

Susulan kekalahan itu, tindakan segera teras utama BN Sarawak pada waktu itu yakni Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) adalah dengan keluar daripada BN.

PBB yang merupakan komponen BN mengajak bersama parti lain komponen BN di Sarawak untuk keluar lalu membentuk sebuah fraksi baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Fokus utama mereka pada waktu itu ialah untuk mempertahankan hak rakyat di negeri ini yang telah sekian lama diabaikan.

Pelik bin ajaib..setelah sekian lama Sarawak diabaikan tiba-tiba GPS muncul berlagak sebagai ‘hero’ sedangkan selama lebih enam dekad, negara ini diperintah berterusan oleh BN yang di dalamnya ada parti-parti komponen dari Sarawak.

Mengimbas kembali pencapaian BN atau kini GPS di Sarawak, pembangunan hanya berpusat di bandar utama seperti Kuching, Kota Samarahan, Miri, Bintulu dan Sibu.

Ini kerana, membangunkan negeri ini bukannya mudah. Keluasannya sahaja menyamai Semenanjung Malaysia.

Maka, sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) memerintah, GPS pada ketika itu mengambil sikap ‘konfrontasi’ dengan Kerajaan Persekutuan.

Ketegasan GPS pada ketika itu menampakkan diri mereka seperti ‘bermimpi separuh sedar’ seolah-olah baru bangun daripada tidur.

Pemimpin mereka menuntut dana yang lebih besar untuk baik pulih dan bina semula sekolah daif, menuntut kembali hak minyak dan jaminan dikembalikan semula hak-hak Sarawak.

Manakala PH pula melaksanakan apa yang dimohon GPS. RM1 billion diberikan kepada Sarawak untuk membaik pulih dan membina semula sekolah daif.

Lebih lawak…sebaik sahaja PH menjadi kerajaan, sekolah-sekolah ini menjadi daif, uzur dan sangat teruk.

PH turut mengemukakan usul untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung dalam pembentukan Persekutuan Malaysia.

Malangnya, usul ini tidak mendapat dua pertiga majoriti Dewan Rakyat. Ahli Parlimen BN brrsama -sama GPS dan PAS mengambil langkah berkecuali sekali gus menyebabkan usul berkenaan gagal.

Sekiranya usul ini diluluskan, pastinya kini Sabah dan Sarawak bukan lagi setaraf negeri lain tetapi sebagai sebuah entiti setaraf Semenanjung.

PH tidak terhenti setakat itu dalam mengembalikan semula hak Sabah dan Sarawak.

Belanjawan 2020 menyaksikan Sarawak menerima peruntukan terbesar diikuti oleh Sabah. Ini sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu yang diterajui oleh UMNO.

Justeru, menjelang sidang Dewan Rakyat Julai ini pastinya kita menantikan agar Ahli Parlimen Sarawak akan mengeluarkan taring mereka dengan berusaha mengembalikan semula hak Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pada masa sama, GPS harus ingat, isu-isu utama melibatkan rakyat adalah menjadi perhatian utama dalam Pilihan Raya DUN Sarawak ke-12 kelak.

Pertamanya, isu bekalan asas seperti air bersih, elektrik dan akses jalan raya masih lagi menghantui kawasan luar bandar yang majoritinya dikuasai oleh GPS-BN sejak sekian lama.

Apakah janji-janji PRN lepas akan kembali disegarkan semula untuk meraih mandat pada kali ini?

Kedua isu pendapatan per kapita penduduk Sarawak sama ada bandar, luar bandar dan pedalaman.

Pemberian bantuan insentif kewangan memang diperlukan tetapi adakah ia menyelesaikan masalah asas mereka?

Meningkatkan taraf ekonomi penduduk ini berkait langsung dengan taraf pendidikan keluarga kerana pembangunan yang tersusun, strategik dan berimpak seharusnya berjaya mengeluarkan keluarga daripada kemiskinan kepada meraih pendapatan yang mampu menanggung keluarga.

Ketiga, kecenderungan politik anak muda Bumiputra akan menentukan survival GPS-BN.

Anak muda Sarawak yang bekerja di bandar dan luar negeri pastinya memiliki perspektif yang berbeza.

Melihat kepada perubahan luar pastinya bakal mempengaruhi mereka untuk melakukan perubahan yang sama di Sarawak.

Saingan getir GPS-BN kini adalah PH. PH harus segera keluar dari kemelut memilih siapa untuk dijadikan Perdana Menteri dan fokus kepada pemerkasaan jentera di Sarawak bagi mendepani peperangan yang terdekat ini.

Segala kerja selama 22 bulan ketika menjadi kerajaan wajar disebarkan ke seluruh negeri ini selain mengajak rakyat untuk turun mengundi dan melakukan perubahan.

Kemeriahan PRN12 Sarawak dengan banyak penyertaan parti lain wajar diamati dengan cermat jika fokusnya untuk mengalahkan GPS-BN.

Penyertaan banyak ini hanya memecahkan undi mereka yang menolak GPS-BN tetapi akhirnya memenangkan GPS-BN.

Permuafakatan antara PH dan parti lain di Sarawak seperti PSB wajar dilaksanakan atas fokus untuk mengalahkan GPS-BN kerana kekuatan PH dan PSB wajar disatukan ke atas musuh yang sama.

Jika sebaliknya berlaku, ianya hanya menyebabkan kedua-dua parti berputih mata.

Ini adalah kerana, selepas enam dekad GPS yang merupakan jelmaan semula BN, wajar dikalahkan untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada seluruh generasi anak cucu rakyat Bumi Kenyalang pada masa mendatang.