Malaysia Dateline

“Grab ditolak Khazanah, disambar oleh Temasek, kini tersenarai di Nasdaq”

Kejayaan Grab di senaraikan di papan utama bursa saham New York, Nasdaq, mempunyai kisah hitam tersendiri apabila mereka pernah ditolak oleh Khazanah, badan pendanaan terbesar milik kerajaan.

Menurut Datuk A Kadir Jasin, Khazanah pernah menolak Grab sebelum ini.

Ekoran itu, Grab ke Singapura apabila usahanya disambut oleh anak syarikat kerajaan Singapura, Temasek Holding.

Dan dua hari lepas, Nasdaq telah menyenaraikan Grab di papan utamanya dengan nilai USD4.5 bilion.

“1. Khazanah rejected it. 2. Temasek sambar. 3. Nasdaq menyenaraikannya,” tulis Kadir ringkas dalam facebook beliau.

Grab bermula di sebuah pejabatnya di Segambut dengan nama ‘My Teksi’ pada tahun 2012 dengan bantuan Cradle Fund, ebuah agensi pendanaan milik kerajaan Malaysia.

Pada tahun 2015, Grab yang sebelum ini dikenali sebagai MyTeksi telah memohon kepada Khazanah untuk pembiayaan kewangan sebanyak AS$10 juta, tetapi ditolak.

Dalam satu kenyataannya, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Rafiza Ghazali berkata, pihaknya amat berbangga untuk menyaksikan Grab sebagai alumni pertama Cradle mencapai pentas global.

“Komitmen dan kejayaan keusahawanan Grab seharusnya dikongsi dengan pelbagai pihak. Perjalanan anda merupakan satu kisah yang memberikan ilham.

“Sebuah syarikat permulaan berasaskan teknologi Malaysia yang berkaliber tinggi telah berkembang teguh di peringkat antarabangsa. Kami percaya kejayaan anda akan memberi inspirasi kepada mereka untuk ‘Think BIG’ dan terus menjadi contoh yang baik kepada syarikat permulaan lain di Malaysia.

“Bekerjasama adalah permulaan, terus bersama adalah perkembangan dan usaha sama akan membawa kejayaan yang seterusnya.

“Kami gembira untuk terus mewujudkan dan membina sebuah ekosistem yang menyokong persekitaran pembentukan perniagaan yang inovatif dan teguh bagi usahawan teknologi dan pembawa pembaharuan, seiring dengan prinsip kami iaitu ‘Creating Leading Startups!’,” katanya.

Setelah pelancaran “My Teksi” pada tahun 2012, ianya telah diubah pada GRAB pada 2016 dan memindahkan pusatnya ke Singapura dengan sokongan Temasek.

Grab juga beroperasi di beberapa negara Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia, Kemboja, Indonesia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.