Malaysia Dateline

Grab sudah membayar semula komisen secara berperingkat

Syarikat Perkhidmatan E-Hailing, Grab Malaysia hari ini tampil menjelaskan, pihaknya telah membayar semula komisen lima peratus kepada semua rakan kongsi pemandu yang sebelum ini memilih untuk menerima pekerjaan secara manual menerusi aplikasi Grab selepas 11 Julai.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh pihak Grab menerusi wakilnya, Andrew Ju Jin Foo kira-kira jam 4 petang tadi susulan dakwaan Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) menggesa Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan terhadap isu tersebut.

Andrew berkata, memandangkan ia melibatkan sejumlah besar rakan kongsi yang aktif, pembayaran semula komisen tersebut telah dilakukan secara berperingkat.

“Ini bermakna, semua rakan kongsi pemandu kini perlu menerima penumpang secara automatik.

“Apabila peraturan pertama kali diperkenalkan pada tahun lepas, salah satu perubahan pertama yang kami buat adalah untuk memperkenalkan komisen 20 peratus kepada semua rakan kongsi pemandu yang memilih untuk menerima semua perjalanan secara automatik.

“Bagi rakan kongsi pemandu yang tertentu, hampir 20 peratus daripada mereka memilih permintaan perjalanan secara manual.

“Oleh itu, bayaran sebanyak 5 peratus diperkenalkan untuk melindungi dan memberi pampasan kepada mereka setiap kali perjalanan diabaikan atau dibatalkan.

“Itu penting untuk mengurangkan situasi yang tidak dijangka dan mengekalkan keseimbangan dalam penawaran dan permintaan semasa melayani keperluan pergerakan harian setiap orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Andrew turut menjelaskan, pihaknya juga berusaha untuk memastikan keadilan bagi semua rakan kongsi pemandu dengan meningkatkan pengalaman pemanduan dan mengekalkan keseimbangan dalam penawaran serta permintaan.

“Memandangkan kita dikawal oleh kerajaan, adalah penting bahawa kita mematuhi peraturan di samping mengekalkan keseimbangan dalam penawaran dan permintaan dalam industri ini.

“Kami terus komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi pemandu kami, untuk memastikan mereka terus memperoleh pendapatan melalui perkhidmatan Grab.

Pagi tadi, Presiden MeHDA, Daryl Chong mendakwa lebih 48 jam sejak kelmarin, pemandu-pemandu yang terlibat masih belum menerima satu peratus daripada bayaran balik lima peratus seperti dijanjikan pihak Grab.

“Syarikat Grab itu membuat kenyataan menerusi aplikasi pemandu mereka pada 28 Julai lalu bahawa tambahan lima peratus akan dikembalikan kepada pemandu pada Isnin,” katanya.