Malaysia Dateline

GrabPay catat pertumbuhan pengguna baharu enam kali ganda susulan inisiatif e-Tunai Rakyat

GrabPay telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak enam kali dalam pengguna baharu termasuk penukaran pengguna berasaskan tunai GrabPay kepada e-wallet GrabPay sejak pelancaran inisiatif e-Tunai Rakyat semalam.

Pengarah Urusan GrabPay Malaysia, Singapura dan Filipina, Ooi Huey Tyng berkata ia adalah penting memandangkan rakyat Malaysia bergantung kepada wang tunai bagi keperluan harian mereka.

“Kami amat terangsang dengan angka ini (peningkatan pengguna baharu) dengan sokongan dan dorongan dari kerajaan serta industri secara keseluruhan, kami menjangkakan jumlah ini akan meningkat pada hari-hari mendatang.

“Selain itu, satu daripada lima pengguna kami yang menerima pembayaran RM30 itu telah membuat transaksi, di mana 70 peratus telah dibelanjakan di pedagang GrabPay kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Kempen e-Tunai Rakyat Grab, “Siapa Cepat, Banyak Dapat”, direka dengan strategik dengan beberapa jenama kegemaran pengguna.

Sehingga kini, satu daripada tiga orang pengguna aktif setiap hari telah mendaftar untuk inisiatif e-Tunai Rakyat dan peringkat pertama telah ditebus sepenuhnya.

— BERNAMA