Graduan bukan Melayu paling tinggi didiskriminasi, menurut penyelidik

Graduan bukan  Melayu paling tinggi didiskriminasi, menurut penyelidik

Kajian yang mengatakan graduan Melayu menghadapi diskriminasi paling tinggi berbanding graduan berbangsa lain adalah tidak tepat, kata Pengarah Strategi dan Persatuan, Zaidel Baharuddin.

Perkara tersebut didedahkan oleh The Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) yang menjalankan kajian mengenai diskriminasi dalam pengambilan pekerjaan berdasarkan kecenderungan kaum dan perbezaan jantina.

Zaidel berkata dua golongan yang paling banyak didiskriminasi dalam syarikat swasta ialah lelaki dan wanita kaum India serta wanita Melayu yang bertudung..

“Selama ini kita mempercayai bahawa kaum Melayu paling banyak didiskriminasi, walau bagimanapun kajian mendapati kaum India paling tinggi statistik didiskriminasi dalam pemilihan ke temuduga.

“Kami menggunakan dua penyelidik kami dan mentransformasikan mereka kepada tujuh identiti berbeza. Kami ada lelaki berbangsa Melayu, Cina dan India, manakala Wanita Melayu yang bertudung dan tidak bertudung, Cina dan India.

“Bagi menjayakan kajian ini, kami menghantar tujuh resume berlainan dengan kelayakan, pengalaman bekerja, dan taraf pendidikan yang sama iaitu calon lepasan sarjana muda, dengan dandanan muka dan nama yang berlainan.

“Walaupun graduan Melayu tidak menerima panggilan temuduga sebanyak graduan berbangsa Cina, graduan yang paling terkesan akibat diskriminasi merupakan graduan berbangsa India,”katanya.

Menurut kajian, graduan wanita berbangsa India menerima kadar panggilan temuduga sebanyak 9 peratus berbanding wanita Cina yang menerima kadar panggilan temuduga sebanyak 44 peratus. Graduan wanita Melayu pula mendapat 13 peratus panggilan temuduga bagi yang tidak berhijab dan 10 peratus bagi yang berhijab.

Manakala graduan lelaki berbangsa India mendapat kadar panggilan sebanyak 4 peratus berbanding graduan lelaki berbangsa Cina sebanyak 33 peratus, dan graduan lelaki berbangsa Melayu sebanyak 8 peratus.

Selain itu, kajian tersebut mendapati 70 peratus syarikat swasta tidak menerima calon yang bukan berbangsa Cina walaupun graduan tersebut fasih berbahasa Mandarin.

“Kebolehan berbicara dalam bahasa Mandarin tidak membantu calon untuk diterima ke temuduga syarikat yang menawarkan perkerjaan yang memerlukan graduan berbahasa mandarin,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kajian selama lima bulan itu mendapati, wanita Cina hanya perlu memohon dua pekerjaan untuk mendapatkan 1 panggilan temuduga.

Calon wanita berhijab pula perlu memohon 10 pekerjaan bagi 1 panggilan temuduga dan wanita tidak berhijab perlu tujuh permohonan untuk 1 panggilan temuduga. Manakala graduan wanita India pula perlu memohon sebanyak 11 pekerjaan untuk 1 panggilan temuduga.

Graduan berbangsa Cina dilihat mendominasi panggilan temuduga dengan jurang yang amat besar. Kedua-dua graduan Cina lelaki dan wanita menerima panggilan temuduga lebih dari keseluruhan panggilan temuduga untuk graduan Melayu dan India.

Perkara ini merumuskan bahawa walaupun majikan mensyaratkan Bahasa Mandarin di dalam pengiklanan, ia hanya merupakan cara untuk mengaburi pengambilan graduan berbangsa Cina.

Pengangguran

Menurut Zaidel, diskriminasi pemilihan calon berdasarkan etnik dan jantina dapat dikaitkan dengan pengangguran yang berlaku di Malaysia.

“Jika diikutkan, wanita mempunyai kelebihan yang besar diterima untuk temuduga berbanding lelaki.

“Kebanyakan graduan juga tidak memilih perkerjaan. Mereka tidak kisah sekiranya tidak mendapat perkerjaan tersebut. Graduan sedar ekonomi tidak berapa sihat, persaingan juga sengit akibat globalisasi dan kelemahan dari segi pasaran.

“Namun apa yang majikan tidak sedar, graduan-graduan ini hanya mahu peluang memperkenalkan diri mereka dan meyakinkan majikan bahawa mereka mampu jadi pekerja yang terbaik untuk syarikat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambahnya, kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa graduan ini tidak langsung diberi peluang untuk pergi ke temuduga kerana faktor etnik.

Daripada 547 pekerjaan dipohon, wanita Cina mendapat 240 panggilan temuduga; wanita Melayu tidak bertudung mendapat sebanyak 70 panggilan temuduga; wanita Melayu bertudung, 50 panggilan temuduga; dan wanita India sebanyak 49 panggilan temuduga.

Sementara itu, lelaki berbangsa Cina mendapat 179 panggilan; lelaki Melayu, 43 panggilan; dan lelaki India hanya 20 panggilan ke temuduga pekerjaan yang dipohon.

Kajian ini memaparkan secara jelas diskriminasi yang berlaku di sektor swasta. Walaupun setiap graduan memiliki kelayakan, taraf pendidikan dan oengalaman yang sama, etnik dan warna kulit tetap memainkan peranan yang penting dalam mendapat peluang pekerjaan.

“Implikasi perkara ini sangat membimbangkan, terutamanya masa depan belia di Malaysia. Jika hal ini berterusan tanpa penyelesaian, lebih ramai golongan yang akan terpinggir hanya kerana warna kulit” kata Zaidel.