Graduan UTP ini lompat kerja 4 kali, berjaya naik gaji cecah RM15,000 dalam masa 7 tahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemuda berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas mendedahkan strategi yang dilakukannya untuk menerima peningkatan gaji sehingga mencecah RM15,000 hanya dalam masa tujuh tahun.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Threads, pemuda yang merupakan graduan Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu mengakui hanya meraih pendapatan sebanyak RM3,500 ketika mula berkerja.

Namun selepas melakukan amalan ‘lompat kerja’ ataupun sentiasa mencari peluang yang baharu dengan menukar tempat pekerjaan, pemuda berkenaan kini sudah boleh hidup selesa dengan menerima gaji belasan ribu ringgit.

Walau bagaimanapun, pemuda itu turut mengingatkan bahawa perkara tersebut tidaklah semudah yang dijangka di mana orang ramai perlulah sentiasa mencuba untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman.

Mereka juga tidak boleh lupa untuk memperkasakan diri seperti menguasai kemahiran baharu setiap kali berhasrat untuk menukar tempat pekerjaan bagi mendapatkan peningkatan gaji setimpal dengan kepakaran diri.

“Bekerja di empat buah syarikat di dalam tempoh tujuh tahun. Alhamdulillah, gaji saya meningkat dari RM3,500 kepada RM15,000. Petuanya adalah lompat kerja. Tetapi di setiap syarikat, jangan lupa lakukan perkara ini.

“Kumpul seberapa banyak pengetahuan dan pengalaman yang anda boleh. Jangan pula lupa untuk dapatkan sijil kemahiran. Matlamat saya kini mahu melunaskan hutang dan mula berniaga sepenuh masa selepas ini,” katanya.

Dalam perkongsian yang sama, pemuda berkenaan turut mendedahkan pencapaiannya di dalam bidang akademik selain memaklumkan bahawa dirinya bukan pelajar yang begitu cemerlang.

Sebaliknya keazaman dan kerajinan dirinya sendiri untuk menguasai pelbagai ilmu serta kemahiran baharu telah melayakkannya untuk menerima peningkatan gaji hingga mencecah RM15,000.

Difahamkan, pemuda itu mulanya meraih keputusan 5A ketika menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum mendapat 7A 1B dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Manakala keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pemuda terbabit adalah 7A 2B selain mendapatkan markah Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sebanyak 3.27 ketika menamatkan pengajian di UTP.

Baca juga: Perniagaan tak berdaftar, ramai buat aduan pempengaruh jual pizza tepi jalan ganggu ketenteraman awam