Malaysia Dateline

‘Grand coalition’ boleh mula di Johor

Pembentukan ‘grand coalition’ atau gabungan besar pembangkang boleh dimulakan di Johor.

Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, negeri itu mempunyai pelbagai latar belakang Ahli Parlimen yang terdiri daripada parti bukan sahaja dari Pakatan Harapan (PH).

“Grand coalition boleh direalisasikan di Johor terlebih dahulu kerana di sini kita ada Muda, Pejuang dan Bebas di Simpang Renggam.

“Selain itu, mereka juga mempunyai pengaruh yang berlainan dari PH dan kalau ia dapat digabungkan pastinya gabungan ini berjaya menarik sokongan pengundi.

“Apa yang pasti, pengundi hanya mahukan kesatuan di semua peringkat dan sudah tiba masanya Johor membuat langkah yang sedikit luar biasa,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Semalam, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mencadangkan agar pelbagai peringkat boleh memulakan gagasan gabungan besar.

Untuk rekod, kerajaan PN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hanya mempunyai kelebihan dua wakil rakyat iaitu 29 berbanding PH Johor, 27 ADUN.

Daripada 29 kerusi PN, 14 adalah wakil rakyat Umno manakala 12 lagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), MIC (2) dan Pas (1).

PH Johor pula dengan 27 kerusi DUN paling banyak dimiliki DAP sebanyak 14 kerusi diikuti AMANAH (9) dan PKR (4).

Mengulas lanjut, Mohd Zuhan berharap agar gabungan besar pembangkang yang dicadangkan untuk menentang Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang dapat diterima di semua peringkat.

Jelasnya, ia demi kelangsungan suara rakyat sekali gus memulangkan kembali mandat yang telah diberikan kepada PH sebelum ini.

“Kemenangan kita (PH) pada PRU-14 wajar diketahui adalah disebabkan kesatuan dari parti-parti pembangkang dan ini membuahkan hasil.

“Tidak salah kalau ia boleh dimulakan di Johor seperti mana gerakan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada tahun 1990 atau Gagasan Rakyat yang hanya membabitkan beberapa negeri sahaja.

“Pasaran kesatuan pembangkang ini lebih meyakinkan berbanding dengan perlawanan tiga penjuru antara sesama pembangkang,” kata Mohd Zuhan lagi.