Malaysia Dateline

‘Grand Coalition’ jadi perdebatan paling panas dibangkitkan perwakilan

‘Grand Coalition’ atau gabungan besar merupakan isu yang paling panas dibangkitkan oleh para perwakilan semasa Konvensyen AMANAH Nasional hari ini.

Para perwakilan menggesa kepimpinan parti itu membuat pertimbangan sebaiknya berhubung cadangan menubuhkan gabungan tersebut yang pastinya akan melibatkan dua tokoh sedang berselisih iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perwakilan Kedah, Asmirul Anuar Aris dalam ucapannya menyentuh tentang pertelingkahan antara Mahathir dan Anwar, yang menurutnya jika perselisihan tidak diselesaikan, ianya akan mengakibatkan porak peranda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau turut mempersoalkan bagaimana PH mahu membina gabungan besar jika pembangkang masih bertikam lidah dan tidak sependapat dalam menentukan hala tuju negara.

“Pemimpin harus tegas buat keputusan ke arah mana kedudukan parti kita terutama jika gabungan besar yang hendak dibina, mengalami kegagalan seperti yang berlaku selama sembilan bulan ini,” katanya.

Hal sama turut diutarakan oleh perwakilan Pulau Pinang, Ahmad Fahmi yang mengingatkan, biarpun dalam usaha melaksanakan gabungan besar bagi mendapatkan semula mandat rakyat, pembangkang masih perlu berjuang memecahkan pakatan musuh yang sedia ada.

Perwakilan Pulau Pinang, Ahmad Fahmi

“Kita nak bina kolisi baru tapi kita biarkan mereka terus berpakat. Kita patut hancurkan pakatan mereka,” katanya.

Bagi perwakilan Wilayah Persekutuan, Ahmad Zubair Ab Rahim, beliau mencadangkan majlis PH untuk mempertimbangkan membentuk Kabinet bayangan sekiranya gabungan besar mahu dilaksanakan.

Perwakilan Wilayah Persekutuan, Ahmad Zubair Ab Rahim

Ini kerana menurutnya, ia bagi membina semula keyakinan rakyat serta menghantar signal bahawa PH bersedia mengambil mandat dan membela mereka.

Pada masa sama, beliau turut menekankan tentang formula agihan kerusi yang perlu diagihkan dengan lebih adil.

“Formula agihan kerusi untuk PRU15 perlu lebih adil. Jangan pula dengan adanya gabungan besar ini, maka peluang AMANAH pula semakin ditutup,” ujarnya.

Isu agihan kerusi turut dibahaskan oleh perwakilan pemuda AMANAH, Hisyamuddin Ghazali yang mahu kepimpinan parti menetapkan syarat tentang jumlah kerusi sebelum persetujuan bersama dicapai untuk menubuhkan gabungan besar.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 50 kerusi perlu diperuntukkan kepada AMANAH ekoran Bersatu dan PKR telah pun keluar menyertai Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, perwakilan Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), Anis Afida pula mengingatkan sekiranya gabungan besar direalisasikan, kolisi berkenaan kelak perlu meletakkan semua parti komponen setaraf dan bersifat rakan setara.

Katanya, AMANAH perlu pastikan tiada parti yang akan bertindak dominan atau menjadi abang besar di dalam gabungan berkenaan.

Bagi perwakilan Selangor, Azli Yusof, beliau menggesa agar gabungan besar PH nanti mengemukakan pelan ekonomi lima tahun 2021 hingga 2025 bagi mendepani pasca Covid-19.

Perwakilan Selangor, Azli Yusof

Ini katanya agar ekonomi negara dapat dipulihkan semula, masyarakat dapat dibela supaya rakyat dapat menilai wawasan PH untuk mengambil semula Putrajaya.