Malaysia Dateline

Great Amal Fest 2019 peluang untuk orang ramai menyumbang

Great Amal Fest 2019 yang akan diadakan pada 23 Jun di sebuah gudang di ibu pejabat Ethis Ventures Sdn Bhd berharap dapat memberi peluang kepada orang ramai menyumbang kepada mereka yang memerlukan.

Penganjur utama dan juga pengasas Newsantara Sdn Bhd, Awi Rafael berkata hasil kutipan daripada acara itu akan diagihkan kepada persatuan-persatuan amal.

“Salah satu objektif ialah untuk kita memanfaatkan bulan sempena sambutan Hari Raya dan memberi peluang untuk menyumbang kepada semua rakan persatuan amal, dalam kes ini Global Sadaqah.

“Tetapi kita juga akan fokus kepada IDEAS Autism Centre (IAC) untuk kanak-kanak autistik dan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB),” kata beliau kepada Bernama selepas pelancaran acara itu dengan kerjasama Global Sadaqah dan Warner Music (Malaysia) Sdn Bhd, semalam.

Great Amal Fest 2019 akan menampilkan selebriti sepetrti Raihan, Awi Rafael, kumpulan Bunkface bersama penyanyi Fitri Haris selain penyanyi rap Altimet.

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) juga akan menampilkan pasukan vokal terbaik untuk acara yang akan berlangsung dari pukul 11 pagi hingga 10 malam dan terbuka percuma kepada orang ramai.

Sementara itu, pengarah urusan Global Sadaqah, Umar Munshi, berkata Global Sadaqah hanyalah satu platform untuk membantu menyumbang kepada tujuan amal.

“Kami mahu menarik belia dan artis supaya mereka dapat membawa pengikut mereka untuk menyumbang bersama untuk tujuan amal,” katanya.

— BERNAMA