GST beri kesan lebih buruk, Rais seru Melayu tolak BN

GST beri kesan lebih buruk, Rais seru Melayu tolak BN

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, orang Melayu perlu menilai isu utama negara yang dialami di bawah pentadbiran BN jauh lebih buruk berbanding menganggap DAP sebagai ancaman.

Menurutnya, dakwaan kononnya DAP akan menukar hala tuju negara jika Pakatan Harapan mendapat mandat memerintah hanya tohmahan yang sengaja untuk menakut-nakutkan Melayu.

“Kalau dibandingkan DAP dengan MCA dengan LDP (Parti Liberal Demokratik), SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak), Gerakan, ada empat parti Cina dalam Barisan Nasional sekarang.

“Sedangkan dalam Harapan hanya satu iaitu DAP. DAP mungkin menang 35 kerusi walaupun mereka bertanding 53 kerusi di Malaysia.

“35 kerusi tidak boleh menentukan corak perjuangan atau pun corak pentadbiran negara masa depan,” jelasnya yang mempunyai latar undang-undang itu.

Bekas menteri Umno itu berkata demikian dalam rakaman eksklusif bersama Media Oren yang mulai tular di media sosial.

Beliau berpendapat pemikiran orang Melayu pada masa ini jauh berbeza berbanding beberapa dekad lalu sehingga mendorong untuk mereka bertekad melakukan perubahan pada pilihan raya kali ini.

“Saya yakin cerdik pandai Melayu sudah bertukar pemikirannya dan mereka yang menganalisis masa depan Malaysia dapat menimbulkan kesilapan-kesilapan besar yang dilakukan di bawah perjuangan Umno sekarang dalam Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Rais berkata, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kenaikan melambung harga barangan serta kehilangan aset negara adalah perkara induk kepada kesilapan besar dalam pentadbiran Umno-BN.

“Tentu sekali akan memberi kesan yang lebih buruk daripada hanya menuding jari bahawa DAP akan memusnahkan hak-hak orang Melayu, yang mana tidak benar,” tegas bekas Ahli Parlimen Jelebu berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan orang Melayu pada masa ini boleh menilai sendiri bagaimana ingin menukar pelbagai penyelewengan yang sudah dilakukan.

“Orang Melayu sekarang bukan orang Melayu yang 30 tahun dahulu atau 20 tahun dahulu.

“Kita dapat melihat sekarang bahawa semua bandar utama di negara dengan kampung baru dan kampung-kampung, rakyat mahu menukar kerajaan, menukar hala tuju dan menukar masa depan negara dan bangsa,” tambahnya lagi.