GST Penyelamat Ekonomi Malaysia, kata PM

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terbukti menjadi penyelamat ekonomi Malaysia walaupun didakwa menyusahkan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terbukti menjadi penyelamat ekonomi Malaysia walaupun didakwa menyusahkan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 Katanya hasil kutipan GST dapat menampung kekurangan hasil kerajaan khususnya akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia.

 “Senario ini (kejatuhan harga minyak) di luar kawalan kita tetapi syukurlah kita dapat menampung kekurangan hasil kerajaan kerana kita berani memperkenalkan GST.

 “Walaupun orang kata kerajaan tak patut laksanakan GST atau menyusahkan rakyat tetapi hakikatnya GST adalah penyelamat kepada ekonomi negara kita,” katanya ketika membuka pusat membeli belah Nu Sentral dan Menara 1 Sentrum milik Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) di sini hari ini.

 Beliau berkata jika ekonomi Malaysia merudum kesannya termasuk kadar pinjaman akan menjadi lebih tinggi sekaligus menyebabkan rakyat menanggung kesusahan.

 Najib berkata walaupun tindakan yang diambil kerajaan tidak bersifat populis namun ia dibuat demi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat dan negara.

 Perdana Menteri berkata melalui Bajet 2016, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat termasuk anak-anak yang menyara ibu bapa diberi pelepasan cukai terkumpul sebanyak RM1,500, masing-masing untuk ibu dan bapa.

 “Ini sekaligus dapat menggalakkan sifat penyayang kepada ibu bapa dan bukanlah meninggalkan mereka di rumah warga tua,” katanya.

 Dalam pada itu, Najib berkata PHB telah mencapai kejayaan dalam membangunkan ekonomi Bumiputera sejak beroperasi pada 2007.

 Beliau berkata kewujudan pusat membeli belah Nu Sentral dan bangunan pejabat Menara 1 Sentrum membolehkan usahawan Bumiputera berkongsi limpahan rahmat pembangunan negara.

 “Kedudukan pusat membeli belah ini yang bersebelahan dengan KL Sentral amat strategik kerana beribu-ribu pengguna menggunakan hub pengangkutan ini,” katanya.

 Beliau berkata kerajaan melalui PHB juga akan melancarkan unit-unit amanah dari semasa ke semasa bagi memberi peluang kepada Bumiputera melabur dalam sektor hartanah.

 Terdahulu, Najib meluangkan masa beramah mesra dengan penyewa di Nu Sentral serta sempat membeli sepasang kasut sukan. — BERNAMA

TAGS