GST, skandal 1MDB buat rakyat tertekan sambut Aidilfitri, kata Guan Eng

GST, skandal 1MDB buat rakyat tertekan sambut Aidilfitri, kata Guan Eng

Sambutan Aidilfitri tahun ini penuh mencabar bagi kebanyakan rakyat di negara ini ekoran kelembapan ekonomi yang melanda negara.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata peningkatan harga barang akibat perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan BN dan penurunan nilai ringgit menjadikan sambutan Aidilfitri kali ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.

“Keadaan ekonomi lembab ini disebabkan oleh pengenaan GST dan penurunan nilai matawang ringgit ekoran skandal kewangan 1MDB sebanyak RM50 bilion dan skandal ‘derma’ RM4 bilion.

“Kemelesetan ekonomi hanya boleh diatasi sekiranya tindakan tegas diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab ke atas skandal 1MDB dan derma ini,” katanya dalam perutusan Aidilfitri hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu juga berkata, kenaikan harga minyak buat pertama kali sejak bulan April 2016, sungguhpun hanya 5 sen adalah petunjuk bahawa keadaan ekonomi akan bertambah buruk lagi.

Selain masalah ekonomi, rakyat jiga katanya dibelenggu ketakutan ekoran isu keselamatan awam membabitkan serangan bom tangan oleh kumpulan Negara Islam (IS) di Puchong yang disahkan oleh pasukan polis.

“Adalah diharapkan pihak polis boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ancaman ISIS daripada membazirkan sumber anggota, wang dan masa ke atas mereka yang menentang Perdana Menteri secara aman atau mentertawakannya,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)