Guan Eng anggap kekalahan DAP disebabkan populariti Adenan

Guan Eng anggap kekalahan DAP disebabkan populariti Adenan

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengucapkan tahniah kepada pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Adenan Satem atas kemenangan besar dalam pilihan raya Sarawak semalam dan menganggap kekalahan DAP disebabkan populariti Adenan.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kegagalan DAP mengekalkan lima kerusi daripada 12 kerusi sebelumnya ialah disebabkan populariti Tan Sri Adenan atas sifat peribadi.

Beliau berkata Adenan dapat mewujudkan penampilan semula dalam dirinya dan mencorakkan hala tuju atau model politik yang baharu untuk mengembalikan populariti dan sokongan kepada BN sejak pilihan raya umum 2008.

“Populariti peribadi Adnan mengatasi apa-apa ketidaktengangan berhubung dengan larangan ke atas para pemimpin pembangkang dari Semenanjung daripada memasuki Sarawak,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berharap Adenan dapat memenuhi janjinya untuk Sarawak menikmati kemakmuran dan berlaku adil kepada semua tanpa mengira kaum dan agama, mengembalikan hak ekonomi dan penurunan kuasa politik yang menghormati hak, maruah dan martabat rakyat Sarawak.

Lim berkata parti itu akan menjalankan “post-mortem” dan menunggu laporan penuh daripada pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen mengenai kekalahannya termasuk kegagalan meraih kejayaan apabila bertanding di kawasan suku kaum Dayak di luar bandar.

Bagaimanapun, beliau berkata ada petunjuk-petunjuk positif di beberapa kawasan kaum Dayak apabila calon DAP meraih sebahagian undi.

“Oleh kerana politik ialah perjuangan jangka panjang, pemimpin kita harus meneruskan usaha di kawasan-kawasan tersebut di bawah program Impian Sarawak serta memenangi semula kerusi yang hilang.

“DAP akan terus bekerjasama dengan sekutunya dalam Pakatan Harapan, PKR dan Amanah. Kami perlu menebus kekecewaaan di kalangan penyokong kami, bukan hanya sebagai parti politik tetapi juga sebagai Pakatan Harapan,” kata beliau.

Beliau berkata jentera dalaman Pakatan Harapan perlu diperkukuhkan supaya persetujuan yang dicapai harus dihormati dan dikekalkan.

DAP hanya memenangi tujuh daripada 31 kerusi yang ditandingnya, sementara BN memenangi 72 kerusi dan PKR mengekalkan ketiga-tiga kerusinya dalam PRN Sarawak.

TAGS