Guan Eng berbohong, dakwa Kelantan tidak mampu bayar gaji penjawat awam, kata Pas

Guan Eng berbohong, dakwa Kelantan tidak mampu bayar gaji  penjawat awam, kata Pas

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari membidas kenyataan dibuat Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana memfitnah Kerajaan Kelantan kononnya tidak dapat membayar gaji kakitangan awam di negeri itu dan terpaksa dibantu kerajaan Persekutuan.

“Kita minta dibuktikan dengan jelas bilakah Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangannya?

“Jika disebut bahawa Kelantan menerima bantuan kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji, perlulah dinyatakan bahawa tidak ada satu pun negeri di Malaysia yang tidak menerima peruntukan di bawah Perbendaharaan Negara,” ujarnya dalam kenyataan hari.

Beliau mengulas dakwaan Guan Eng hari ini di dewan rakyat yang mendakwa kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji penjawat awamnya dan dibantu oleh kerajaan persekutuan.

Guan Eng berkata demikian bersandarkan kepada fakta yang pernah disebutkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa Kelantan tidak mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk membayar gaji kakitangan awam maka sudah semestinya tidak mampu untuk mengambil alih pembinaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Menurut Ahmad Fadhli  yang juga Naib Pemuda Pas Pusat,  beliau merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 27 Oktober 2017 di bawah tajuk Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018.

Di dalam Lampiran E iaitu di bawah tajuk Pemberian Sebenar Kepada Kerajaan Negeri Tahun 2016, ujarnya lagi,  kerajaan Kelantan dinyatakan telah menerima sejumlah RM397,989,333.00.

“Jika dibandingkan dengan negeri Selangor, negeri tersebut telah menerima sebanyak RM761,803,058.00 di bawah peruntukan Perbendaharaan Negara untuk tahun 2016.

“Tidaklah dinafikan kelayakan Selangor menerima peruntukan yang lebih banyak kerana jumlah pemberian tersebut berasaskan kepada keperluan tersendiri termasuklah bilangan penduduk.

“Namun ia mengesahkan bahawa ‘tiada negeri yang tidak menerima’ wang daripada kerajaan pusat,” ujarnya.

Fadhli juga turut menyenaraikan beberapa negeri lain yang menerima bantuan daripada kerajaan persekutuan antaranya sepertidi negeri Johor menerima sebanyak RM802,219,813.00;Kedah (RM373,288,565.00);Pahang (RM391,115,129.00);Sabah (RM1,086,260,027.00) dan Sarawak (RM1,159,277,479.00).

Katanya, akta-fakta itu menjelaskan bahawa *Menteri Kewangan” hari ini sekali lagi berbohong dan memfitnah Kelantan di dalam Dewan Rakyat.

Beliau  berkata, apa yang diutarakan oleh Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) hanya soalan yang tidak mempunyai unsur provokasi dalam sidang dewan rakyat hari ini.

“Apa yang diutarakan oleh Kota Bharu ialah berhubung pandangan kerajaan jika kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu memulakan inisiatif sendiri untuk menyiapkan projek ECRL?

“Menteri Kewangan dengan sinis menjawab, “bagaimana mahu siapkan ECRL jika bayar gaji kakitangan pun tidak mampu?”

“Di dalam dewan, kami ahli-ahli parlimen dari Kelantan menuntut agar Menteri Kewangan menarik balik kenyataannya kerana ia mengelirukan dewan namun tidak dibenarkan oleh Speaker,” ujarnya.