Guan Eng bidas pegawai SPR halang pengundi

Guan Eng bidas pegawai SPR halang pengundi

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengecam tindakan seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menghalang seorang pengundi yang memakai seluar pendek daripada memasuki pusat pengundian bagi kawasan Parlimen Bagan.

Menurut klip video yang dimuat naik ke Facebook Oriental Daily, pegawai itu menggesa pengundi lelaki pertengahan umur itu untuk pulang ke rumah bagi menukar pakaian.

Bagaimanapun, Oriental Daily melaporkan lelaki itu akhirnya dibenarkan untuk mengundi.

Mengulas perkara itu Lim berkata beliau akan membuat aduan kepada SPR untuk menggantikan pegawai berkenaan.

“Selagi mereka berpakaian, sesiapa sahaja boleh memasuki pusat mengundi, tetapi tentu saja, anda perlu berpakaian. Jika tidak kita setuju (mereka dihalang),” katanya.

Lim mendakwa ketika ditemui, pegawai itu mengakui tiada peraturan yang melarang pengundi memasuki tempat mengundi.

“Kami akan mengadu kepada SPR dan menggesa (pegawai SPR) diganti. (Kita) tidak boleh biarkan dia melakukan apa yang dia mahu,” katanya seperti dipetik dari Malaysiakini.