Guan Eng cabar Shabudin ulangi fitnah di luar Parlimen, langkah perundangan lanjut

Guan Eng cabar Shabudin ulangi fitnah di luar Parlimen, langkah perundangan lanjut

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mencabar Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya mengulangi tuduhan Rasuah terhadapnya di luar Parlimen bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan fitnah yang dibuat dalam sidang dewan rakyat pada 17 Mac lalu.

Guan Eng melahirkan kekesalannya terhadap Shabudin yang enggan bersemuka pagi ini dipejabatnya untuk beliau menunjukkan bukti berkaitan tuduhan Shahbudin di Parlimen.

“Beliau kata saya terlibat dalam amalan rasuah. Saya telah silap bila anggap beliau adalah pemimpin berani yang tidak gentar berdepan dengan sebarang cabaran demi mencari kebenaran.

“Beliau telah buat tuduhan pada 17 Mac di Parlimen bahawa saya terlibat dalam amalan rasuah berkaitan pembelian rumah saya yang berusia 30 tahun, dengan penjualan sebidang tanah kerajaan negeri di Taman Manggis.

“Saya telah membeli rumah, yang dibina pada awal 1980an, pada 28 Julai 2015. Implikasi tuduhan rasuah Datuk Shabudin terhadap saya ialah, harga pembelian rumah saya adalah murah, untuk membolehkan syarikat yang ada hubungan dengan si penjual rumah, memperolehi tanah kerajaan negeri di Taman Manggis dengan harga murah,” ujarnya dalam sidang akhbar pagi tadi.

Tambah Guan Eng lagi, persoalan utama tuduhan rasuah terhadapnya ialah adakah beliau mengaturkan penjualan tanah kerajaan dengan harga murah supaya boleh membeli rumah dengan harga murah.

“Tuduhan ini adalah satu fitnah jahat yang tidak berasas kerana pembelian rumah saya sebanyak RM2.8 juta dibiayai oleh pinjaman bank sebanyak RM2.1 juta dan baki wang tunai RM700,000 daripada elaun pendapatan saya sebagai Ketua Menteri dan wakil rakyat

“Penjualan tanah kerajaan negeri dijalankan dengan tender terbuka dan pembeli dipilih berdasarkan tawaran harga yang paling tinggi.

“Jawatankuasa Tender Negeri tidak dipengerusikan oleh saya dan mematuhi semua peraturan kerajaan negeri yang ditetapkan.

“Penjual rumah kepada saya tidak terlibat dengan syarikat yang memenangi tender tanah kerajaan negeri, bukanlah pemegang saham ataupun ahli lembaga pengarah. Penjual rumah juga bukanlah pemaju perumahan.

“Ketua Bahagian Umno Bagan Shaik Hussein Mydin pada 19 Ogos 2015 telah meminta maaf secara lisan kepada saya di depan Hakim Mahkamah Tinggi sebanyak dua kali, dan menarik balik kenyataan fitnah di mahkamah bahawa saya terima wang rasuah daripada pembeli tanah kerajaan negeri tersebut.

“Akan tetapi saya bersedia mendengar hujah dan menyemak sebarang bukti yang beliau pegang dalam pertemuan satu sama satu pagi ini. Buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, seorang Ketua Menteri bersedia bersemuka dengan seorang ahli Parlimen parti lawan yang menuduhnya, semata-mata untuk mencari kebenaran.

“Kita harus berani kerana benar. Saya tidak nampak mana-mana pemimpin BN baik Menteri maupun Menteri Besar berani berbuat demikian,” ujarnya.

Malangnya kata beliau, Shabudin telah undur lebih dahulu dan lari daripada peluang yang diberikan untuk membuktikan tuduhan rasuah terhadap saya bukanlah berunsur fitnah. Ini tidak adil terhadap saya sebagai mangsa fitnah jahat ini.

“Ia bukanlah sikap bertanggungjawab dan bermoral seorang pemimpin, seakan-akan baling batu sembunyi tangan. Oleh demikian saya ingin meminta beliau mengulangi tuduhan rasuah yang beliau buat terhadap saya secara peribadi dalam Parlimen di luar, supaya saya diberikan peluang untuk mengambil tindakan saman malu terhadap beliau.

“Adakah Datuk Shabudin berani ulangi tuduhan rasuahnya di luar Parlimen?,” soalnya.

TAGS