Guan Eng cabar Tiong Lai berani berdebat

Guan Eng cabar Tiong Lai berani berdebat

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (kanan) hari ini  sekali lagi mencabar Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai (kiri)  berdebat mengenai 1MDB dan projek terowong dasar laut Pulau Pinang,  kerana  debat itu demi kepentingan negara.

Beliau berkata cabaran ini dibuat oleh kerana Tiong Lai belum respon kepada hasrat berdebat sebelum ini, yang disahut oleh timbalannya Datuk Seri Wee Ka Siong tetapi ditolak oleh Guan Eng.

Ini kerana Guan Eng berpendapat beliau tidak akan merendahkan martabat jawatan Setiausaha Agung DAP yang disandangnya sejak 2005 itu untuk berdebat dengan Ka Siong yang merupakan pemimpin nombor dua MCA .

“Mari kita lihat sama ada dia berani seperti Chua Soi Lek (bekas presiden MCA) yang berani berdebat dengan saya.

“Rakyat akan hakimi perdebatan kami. Saya mencabar Liow kerana kami berdua ketua parti,” kata Lim pada sidang media di Komtar hari ini.

Beliau berkata antara topik yang dia mahu debatkan ialah berkenaan dana 1MDB yang didakwa diterima “MO1” dan ahli perniagaan Low Taek Jho.

MO1 merujuk kepada “Malaysia Official 1”, akronim yang digunakan untuk merujuk kepada satu pihak dalam kes pelucuthakan sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Do membuat 2 tuntutan pelucuthakan sivil terhadap aset bernilai AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) yang didakwa dibeli dengan dana yang dicuri daripada 1MDB.

Tindakan undang-undang itu merupakan tindakan undang-undang terbesar yang perlu dilakukan pihak berkuasa AS melalui Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi DoJ.

Chua pernah berdebat dengan Lim sebanyak 2 kali pada 2012, kebanyakannya mengenai parti mana yang paling banyak memberi manfaat kepada rakyat.

Lim membuat cabaran itu selepas Wee dilaporkan mengajak beliau berdebat mengenai projek terowong dan jalan raya Pulau Pinang, isu yang menjadi tujahan Barisan Nasional terhadap kerajaan negeri pimpinan DAP.