Guan Eng dakwa polis tiada tahan lagi pemimpin DAP

Guan Eng dakwa polis tiada tahan lagi pemimpin DAP

Pihak polis memaklumkan tiada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan atas dakwaan terlibat dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, DAP memberitahu polis bahawa Exco Melaka, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran yang ditahan tidak bersalah.

Menyifatkan penahanan kedua-dua Adun berkeaan sebagai mengejutkan, Guan Eng berkata, penglibatan mereka dalam DAP setakat ini, tidak menunjukkan sebarang tanda terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa walaupun akan ada lebih ramai ditangkap kerana disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE, tiada lagi pemimpin atau wakil rakyat dari DAP akan disasarkan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis hari ini menahan tujuh individu termasuk G Saminathan dan P Gunasekaran di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Polis juga mendedahkan kumpulan pemberontak itu merancang serangan ke atas kedutaaan Sri Lanka di Malaysia.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, DAP akan menyediakan pasukan peguam untuk membantu kedua-dua pemimpin mereka yang diketuai Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

“Polis berjanji siasatan segera untuk membolehkan kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan membolehkan kedua-dua pemimpin DAP itu dibebaskan awal.

“Polis juga berjanji untuk memberikan keluarga dan peguam akses kepada kedua-dua wakil rakyat kami.

“Kedua-dua Adun kami dipuji oleh pihak polis kerana memberikan kerjasama sepenuhnya dan tenang dengan pihak polis semasa penahanan mereka,” tambahnya lagi.