Malaysia Dateline

Guan Eng gelar Azmin pembohong, cakap tiada bukti

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dibidas sebagai pembohong apabila mendakwa Menteri Kewangan sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) enggan mengeluarkan peruntukan tambahan bagi menangani Covid-19.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, dakwaan Azmin bahawa nyawa rakyat Malaysia terancam di bawah PH adalah tuduhan liar yang tidak berasas, bahkan tiada bukti bagi menyokong kata-katanya.

Beliau juga menyifatkan Menteri Kanan Perikatan Nasional (PN) itu membuat kenyataan berbaur serangan politik yang melampaui batas dalam kempen ceramahnya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, semalam.

“Semasa menangani Covid-19, bekas Menteri Kesihatan boleh sahkan bahawa kerajaan berjanji akan berikan segala sumber yang ada termasuk sumber kewangan untuk memastikan bahawa petugas barisan hadapan boleh menjalankan tugas mereka sebaik mungkin.

“Apa yang dituduh Azmin jelas sekali adalah serangan politik yang melampaui batas kerana dakwaan tidak benar sama sekali.

“Saya minta kalau boleh tunjuk bukti, tunjuklah sekarang. Jangan buat tuduhan seperti ini, tuduhan liar yang tidak berasas,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Semalam, Azmin mendakwa pentadbiran PH sebagai gagal dan akan menyebabkan lebih banyak kematian berlaku sekiranya terus berkuasa kerana dakwanya Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan enggan mengeluarkan peruntukan bagi menangani penularan Covid-19.