Guan Eng harap BFF tonjolkan teras seni budaya, rancakkan pembangunan Butterworth

Guan Eng harap BFF tonjolkan teras seni budaya, rancakkan pembangunan Butterworth

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berharap edisi kedua Festival Pinggiran Butterworth (BFF) 2016 akan merancakkan lagi rancangan pembangunan masa depan di bahagian Seberang Perai.

Mengulas lanjut, katanya, usaha Kerajaan negeri menonjolkan warisan tak ketara akan menggerakkan aktiviti ekonomi di Butterworth kelak, setanding dengan George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO suatu hari nanti.

“Kami berharap penganjuran festival berupa budaya, seni dan warisan akan merancakkan lagi pembangunan dekat Butterworth, sebagai hab pengangkutan awam kolabirasi wilayah utara.

“Seperti yang kita tegaskan untuk menjadi sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa dan juga sebuah bandar raya yang maju, mesti ada satu hab atau satu teras budaya dan seni,” ucapnya pada Majlis Perasmian BFF 2016 di perkarangan Jalan Jeti Lama di sini pada lewat petang tadi.

Turut berucap, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif serta Pengarah Penganjur BFF, Joe Sidek.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, penganjuran BFF ini sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mengembangkan potensi bahagian Seberang Perai seiringan dengan kemajuan di bahagian pulau.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan pastikan pembangunan seimbang bukan sahaja dalam aspek ekonomi, malah dalam budaya dan seni.

“Tujuh tahun Festival George Town diadakan di bahagian pulau, nescaya perlu diadakan juga suatu festival seumpamanya di bahagian Seberang Perai,” jelasnya.

Sebelum itu, Maimunah memberitahu, tapak seluas 12,000 kaki sekitar Jalan Jeti Lama, Jalan Pasar, Jalan Bagan Luar dan Lorong Tokong dipilih sebagai tapak BFF kerana di kawasan tersebut didapati terdapat begitu banyak unsur warisan tak ketara yang berpotensi untuk dimajukan.

“Angan-angan untuk menjadikan BFF ini seperti Adelaide Festival (dekat Australia), tetapi kita masih baru lagi.

“Bandar tanpa aktiviti samalah seperti bandar tanpa jiwa, maka BFF ini akan memberi semula jiwa untuk memajukan dan meremajakan kawasan ini di bawah Program Butterworth Baharu,” jelasnya.

Manakala, Joe Sidek sekali lagi memberitahu bahawa BFF sebenarnya bukanlah langsung tidak mencerminkan elemen tempatan, seperti didakwa oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu tertentu.

Menurut beliau, sebanyak 31 acara dalam festival kali ini nyata mengangkat elemen tempatan, manakala enam acara lain membawa elemen antarabangsa daripada Australia, Kanada, Sepanyol, Singapura dan beberapa negara lain.

“Kami masih belajar, tujuh tahun kami menganjur George Town Festival dan baru dua tahun menganjurkan Festival Pinggiran Butterworth.

“Bantu kami, sila hantar proposal untuk penganjuran BFF tahun depan, supaya lebih baik untuk semua pengunjung festival jalanan yang dianjurkan secara percuma, seperti hari ini hingga esok,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada 24 penaja festival kali ini.