Malaysia Dateline

Guan Eng ingatkan Zuraida projek rundingan terus

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengingatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin tentang projek yang diluluskan secara rundingan terus semasa Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan.

“Menteri kata dia tak tau pasal projek ini. Nah, saya tolong ingatkan dia balik,” kata Setiausaha Agung DAP itu.

Beliau turut menyelitkan hantaran di Facebook daripada akaun Zuraida sendiri bertarikh 10 Disember 2019.

“Dalam sidang media selepas itu, YB Zuraida memaklumkan satu stesen pemindahan sisa pepejal baru akan dibina oleh KPKT bagi menggantikan stesen pemindahan sedia ada di Taman Beringin, Kepong menggunakan teknologi baru dan mengikut standard terkini dalam tempoh satu tahun.

“Pembinaan stesen itu melibatkan keluasan tanah sebanyak 12 ekar dan akan dilengkapi dengan kemudahan Pusat Pengolahan Semula Bahan yang berfungsi untuk mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula pada peringkat awal bagi membolehkan hanya sisa pepejal yang tidak boleh dikitar semula sahaja yang akan diluluskan hingga peringkat akhir,” dipetik Facebook.

Sebelum ini, Zuraida mendakwa tidak terbabit dalam urusan rundingan terus di bawah kementeriannya yang masih bekas pemimpin PKR itu sandang pada era kerajaan Perikatan Nasional (PN).