Guan Eng kesal tuduhan palsu tidak guna peruntukan RM20j atasi banjir

 

Lim Guan Eng kesal tuduhan palsu tidak guna peruntukan RM20j atasi banjir

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan Kerajaan Negeri tidak pernah menangguhkan perbelanjaan RM20 juta wang caruman perparitan untuk melaksanakan sebarang projek mengurangkan risiko banjir di negeri itu.

Beliau mengulas soalan seorang wartawan akhbar arus perdana yang dianggap berbohong, apabila menanyakan sesuatu yang langsung tiada dalam ulasan Laporan Ketua Audit Negara Negeri Pulau Pinang 2016.

Katanya, soalan wartawan terbabit ketika program lawatan pasca banjir di sekitar kawasan empangan Air Itam semalam, seakan-akan mahu memburukkan imej Kerajaan Negeri dalam isu fenomena hujan lebat pada 15 September lalu, hatta mengakibatkan kejadian banjir di beberapa bahagian Pulau.

“Seorang wartawan Berita Harian, Muhammad Yusri Muzamir telah membuat soalan bohong apabila beliau menanyakan mengapa Kerajaan Negeri tidak menyalurkan RM20 juta kepada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), mengikut laporan Ketua Audit Negara 2016.

“Ini adalah sesuatu yang tidak profesional, tidak beretika apabila menanyakan sesuatu soalan yang langsung tidak wujud.

“Kemudiannya, melaporkan dalam Berita Harian, juga dalam NST (New Straits Times), seolah-olah saya tidak tahu teguran mengenai Kerajaan Negeri tidak menyalurkan RM20 juta kepada JPS untuk atasi masalah banjir,” kata Guan Eng sambil mengecam etika kewartawanan pihak terbabit, dalam sidang media di Hotel Bayview pada pagi tadi.

Sebelum itu, Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam menyampaikan ucaptama dalam 2017 Southeast Asian Collaborative Meeting On Safeguarding Intangible Cultural Heritage.

Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan bahawa teguran dalam laporan itu sebenarnya telah pun diberi maklum balas lanjut daripada Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow sebelum ini, tetapi seakan tetap dimanipulasi dalam pemberitaan Berita Harian dan NST pada hari ini.

Bercakap pada sidang media sama, Kon Yeow memberitahu ulasan Laporan Ketua Audit Negara tersebut sebenarnya menegur Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang tidak menyalurkan RM20 juta kepada Kerajaan Negeri, iaitu wang tabung caruman perparitan yang dikutip daripada pemaju semasa proses kelulusan pelan kebenaran merancang dilakukan bagi bahagian Seberang Perai.

Katanya, sebelum ini hanya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sahaja yang menyerahkan dana berwajib kepada Kerajaan Negeri setiap tiga bulan, untuk membiayai projek mengurangkan risiko banjir kilat.

“Mengikut prosedur, sepatutnya duit caruman ini perlu diserahkan kepada Kerajaan Negeri, dan Jawatankuasa Tetap Tebatan Banjir (Negeri Pulau Pinang) akan meluluskan projek-projek tersebut.

“Sebenarnya, kelemahan MPSP adalah tidak menyerahkan wang caruman itu kepada Kerajaan Negeri, tetapi membelanjakannya selepas satu-satu projek tebatan banjir diluluskan oleh Kerajaan Negeri, bukanlah wang itu digunakan atau diselewengkan selain untuk projek tebatan banjir,” jelas Kon Yeow lagi sambil merujuk pada laporan audit berwajib.

Ketika itu, Kon Yeow berkata, pihaknya terus mengarahkan MPSP menyerahkan dana caruman perparitan kepada Kerajaan Negeri, mengikut prosedur berwajib yang digariskan oleh Kerajaan Persekutuan.