Guan Eng ‘kunci mulut’ isu SPRM mahu ambil tindakan

Guan Eng ‘kunci mulut’ isu SPRM mahu ambil tindakan

Ketua Menteri Lim Guan Eng mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu mengambil tindakan terhadapnya selepas enggan memohon maaf secara terbuka kepada suruhanjaya itu.

“Buat masa ini saya tidak bercadang untuk buat apa-apa komen,\” katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembentungan di Lebuh Relau, Georgetown hari ini.

Semalam, SPRM dalam satu kenyataan memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap Lim yang enggan memohon maaf atas kenyataannya yang berunsur fitnah.

Menurut SPRM, badan itu akan mengemukakan keputusan yang telah dibuat kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

Pada 25 Ogos lalu, SPRM telah memberi ketua menteri Pulau Pinang itutempoh 48 jam untuk memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada suruhanjaya itu atau berdepan tindakan undang-undang susulan kenyataannya bahawa penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh sebagai penahanan haram oleh SPRM .

{loadposition myposition} Sementara itu, Lim berkata kerajaan negeri mengecam sekeras-kerasnya kezaliman pasukan keselamatan Myanmar terhadap etnik Islam Rohingya di Rakhine.

Beliau berkata pihaknya amat prihatin terhadap apa yang berlaku dan menggesa kerajaan Myanmar untuk menghentikan segera pembunuhan terhadap etnik Islam Rohingya.

“Ini adalah isu kemanusiaan bukanlah isu agama ataupun isu kaum. Perkara ini kena lihat dari segi kemanusiaan supaya pembunuhan ataupun pengusiran ini harus dihentikan,” katanya.

Media antarabangsa melaporkan keganasan pasukan keselamatan Myanmar terhadap etnik Islam Rohingya di Rakhine kali ini adalah antara yang terburuk dalam sejarah negara itu dengan hampir 90,000 golongan berkenaan melarikan diri ke Bangladesh selain ada yang terperangkap di kawasan pergunungan tanpa sebarang bekalan asas.

Laporan media menyebut pasukan tentera Myanmar melancarkan operasi ke atas masyarakat minoriti itu selepas sekumpulan kecil militan Rohingya melakukan serangan terhadap pos kawalan sempadan pada Ogos lalu yang menyaksikan 12 anggota pasukan keselamatan Myanmar terbunuh.