Malaysia Dateline

Guan Eng nafi khabar angin bakal TPM

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak pernah menyatakan hasrat untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti desas-desus yang tersebar.

Merujuk kepada laporan The Star pada 14 Jun, Lim berkata, akhbar berkenaan menyiarkan khabar angin apabila mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri, manakala dirinya dan Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi pula akan menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Walaupun PH memenangi Pilihan Raya Umum 2018, saya tidak pernah mengejar jawatan tersebut dan sudah rasa berbangga diberi peluang untuk berkhidmat sebagai Menteri Kewangan Malaysia.

“Jelas ini adalah usaha terdesak untuk mengalih perhatian dari kegagalan kerajaan PN menangani krisis Covid-19, ekonomi dan politik dengan melemparkan umpan politik kepada golongan rasis dan ekstremis agama dalam PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Lim berkata, satu lagi khabar angin tidak berasas yang disiarkan akhbar berkenaan adalah gandingan Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika ini khabar angin tersebar mendakwa sedang berlaku gerakan memungut tandatangan Akuan Bersumpah (SD) Ahli-ahli Parlimen bagi menumbangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Nama Ketua Umno Bahagian Sembrong disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin.

Lim berkata, baik Pakatan Harapan, Umno, mahupun Bersatu tidak akan menyokong idea yang mahu menaikkan Hishamuddin dan Azmin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bahkan katanya, Hishammuddin tidak akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen jika dia bekerjasama dengan Azmin, yang merupakan penggerak utama Langkah Sheraton mengkhianat PH.

“Baik PH atau Umno mahupun Bersatu tidak akan menyokong pasukan Hishammuddin dan Azmin Ali,” katanya lagi.