Malaysia Dateline

Guan Eng nafi langgar peraturan kuarantin kendiri

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menafikan tuduhan beliau melanggar peraturan kuarantin rumah dengan menghadiri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2 September lalu.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya hanya diberitahu tentang kontak rapat positif Covid-19 pada 2 September selepas beliau menghadiri sidang Dun.

Bagaimanapun selepas itu, Guan Eng telah melakukan kuarantin kendiri di rumahnya dan kemudiannya diuji negatif.

“Lim hanya diberitahu pada 2 September setelah menghadiri mesyuarat DUN Pulau Pinang bahawa dia mungkin kontak rapat dengan seorang pesakit positif Covid-19 pada 1 September.

“Pada 6 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara rasminya telah mengeluarkan arahan kuarantin kendiri di rumah dari 1 sehingga 10 September dan mewajibkan Lim memakai gelang merah jambu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Guan Eng juga memaklumkan bahawa beliau tidak keluar ke tempat awam untuk mengedarkan bakul makanan selepas 2 September seperti yang didakwa.

Jelasnya, hantaran Facebook pengedaran bakul makanan yang dilakukannya telah dilakukan beberapa kali pada atau sebelum 31 Ogos di kawasan Parlimennya di Bagan.

“Wakil-wakil rakyat DAP Phee Boon Poh, Soon Lip Chee dan Sateesh Muniandy yang hadir bersama saya, serta para penerima bantuan, juga dapat mengesahkan bahawa pengedaran bakul makanan telah dilakukan pada atau sebelum 31 Ogos.

“Hantaran Facebook pengedaran bakul makanan dibuat bukan pada hari yang sama tetapi beberapa hari selepas acara tersebut,” ujarnya.