Malaysia Dateline

Guan Eng persoal kenapa SPRM siasat Nazlan dan bukannya Azam Baki

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuka kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan bukannya Ketua Pesuruhjaya badan itu sendiri.

Menurutnya, Tan Sri Azam Baki terbukti melanggar undang-undang apabila melakukan transaksi pembelian saham bernilai jutaan ringgit sedangkan beliau pada ketika itu berstatus penjawat awam dan memegang jawatan tertinggi di dalam SPRM.

“Berikutan pengesahan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bahawa SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan, soalan perlu diajukan (kepada SPRM).

“Mengapa SPRM gagal membuka serta-merta kertas siasatan ke atas Azam Baki kerana melanggar undang-undang dalam pembelian berjuta-juta saham bernilai jutaan ringgit?,” soalnya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Pada semalam media melaporkan bahawa SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan yang didakwa mempunyai ‘kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya’. 

Mohd Nazlan dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung dakwaan yang dikeluarkan Blogger Raja Petra Kamaruddin (RPK).

Dalam pada itu, Guan Eng mempersoalkan ketiadaan siasatan jenayah terhadap dakwaan Raja Petra Kamaruddin yang secara konsisten terbukti palsu dan tidak berasas.

“Walaupun RPK bersembunyi di London, dia harus diminta kembali untuk membolehkan dirinya disiasat secara menyeluruh. Jika RPK enggan kembali dan jika terdapat alasan yang mencukupi untuk pertuduhan jenayah difailkan maka RPK perlu diekstradisi,” katanya lagi.

Baca juga: Husam dedah imej satelit Hutan Simpan Nenggiri sudah gondol

Baca juga: Isu menteri jadikan menteri isteri ke 4: Bekas kadi dakwa bantu pemimpin Pas tambah isteri