Guan Eng pertahan kenyataan royalti minyak Kelantan telah dibayar

Guan Eng pertahan kenyataan royalti minyak Kelantan telah dibayar

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mempertahankan kenyataannya bahawa bayaran royalti kepada kerajaan Kelantan telah dibuat bulan lepas.

Beliau berkata pembayaran tersebut sepatutnya dilakukan pada Januari depan, namun diawalkan ke bulan lepas.

“Saya tak mahu berbalah tentang istilah (wang ihsan) yang diguna oleh MB Kelantan, yang penting apa yang perlu dibayar dan ditahan sebelum ini, telah pun dibayar dengan lebih cepat oleh Kerajaan Persekutuan.

“Apa yang dinyatakan di Dewan Rakyat memang benar, kita harap isu ini biarlah kita bincang dengan rasional dan kawalan emosi,” katanya ketika ditemui pemberita ke Lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada sidang media di lobi Parlimen semalam, Lim menyatakan bahawa bayaran royalti yang ditandatanganinya sendiri atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kepada kerajaan Kelantan telah dibuat bulan lepas.

Namun, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob menyangkal kenyataan Lim dan menyatakan bahawa bayaran RM15.7 juta yang diterima kerajaan negeri merupakan wang ihsan dan bukannya royalti.

Sementara itu, Lim juga berkata kerajaan persekutuan telah meluluskan permohonan pinjaman pendahuluan oleh kerajaan negeri untuk menampung kos operasi dan membayar gaji kakitangan perkhidmatan awam negeri.

Lim berkata pendahuluan sebanyak RM100 juta itu akan dibayar dalam beberapa minggu lagi.

“Baru-baru ini kami terima terima permintaan (pendahuluan) untuk bayar kos operasi, termasuk gaji perkhidmatan awam sebanyak RM100 juta, ini pun telah diluluskan oleh saya, dalam diharap dapat dibayar dalam masa beberapa minggu untuk bantu Kelantan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lim membidas pihak yang menyebarkan perbandingan pembiayaan yang diberikan kepada usahawan Bumiputera dalam Belanjawan 2020, yang dibentang Jumaat lepas.

“Ini tidak berpandukan kepada fakta. Peruntukan untuk usahawan Bumiputera sebanyak RM1.44 bilion. Bukan RM50 juta seperti didakwa.

“Ini amat nyata sekali bahawa mereka nak menggunakan sentimen peruntukan di beberapa agensi. Ini memang sesuatu yang nak mainkan sentimen, tidak berasaskan fakta tapi berasaskan fitnah,” katanya.

Sebelum ini viral infografik di media sosial berkenaan intipati Belanjawan 2020 yang memaparkan usahawan Bumiputera hanya diperuntukan sebanyak RM50 juta berbanding usahawan Cina sebanyak RM100 juta dan usahawan India sebanyak RM20 juta.– BERNAMA