Malaysia Dateline

Guan Eng sanggah laporan The Star, nilai tanah hanya RM208 juta bukan RM3 bilion

Ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan laporan The Star bahawa nilai harga tanah bagi projek pembinaan lebuhraya dan terowong dasar laut negeri itu berjumlah RM3 bilion (RM3,000,000,000).

Dalam sidang medianya hari ini, Guan Eng menyifatkan laporan itu sebagai satu pembohongan kerana nilai harga tanah yang telah ditetapkan kerajaan negeri bagi projek itu adalah RM208 juta.

“Harga yang kita tetapkan ini melebihi harga pasaran kerana kita nak menguntungkan dan memberi faedah kepada kerajaan negeri.

“Nilai pembangunan tanah sebenarnya RM1,300 perkaki persegi. Jadi, bukanlah RM3 bilion seperti yang dilapor oleh The Star – bohong! Ini fitnah. Bukan RM3 bilion tapi sebenarnya RM208 juta,” tegasnya.

Beliau juga mempersoalkan nilai RM3 bilion yang didakwa akhbar tersebut dan menuntut ia dibuktikan.

“Mana datangnya (nilai) RM3 bilion yang The Star siarkan itu? Mungkin mereka dengar cakap cybertrooper BN.

“Kita nak tanya mana mereka dapat nilai RM3 bilion ringgit nilai pre-selling tanah itu? Mengarut! Kita harap mereka dapat berikan bukti. Mana buktinya? Kita juga nak tau,” kata Guan Eng.

Menurut Setiausaha agung DAP itu, nilai tuntutan sebanyak RM208 juta kepada Zenith adalah jumlah nilai bagi pembinaan tiga lebuhraya (bukan terowong) yang telah mendapat kelulusan EIA.

“Bagi terowong, satu sen pun kita tak bayar lagi walaupun ‘feasibility study’ siap 92 peratus,” jelasnya.

Beliau menegaskan, buat masa ini, pembinaan tiga lebih raya tersebut adalah keperluan yang perlu diselesaikan segera melibatkan laluan Teluk Bahang – Batu Feringghi, Ayer Hitam – Tun Dr Lee Chong Eu dan dari Jalan Rawai ke Tun Dr Lee Chong Eu.

Menurutnya, semua kontrak dalam projek pembinaan lebuhraya dan terowong dasar laut itu dilakukan melalui tender terbuka yang diselia oleh sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa melibatkan Ketua Menteri mahupun Exco.

Pada tahun 2014, sebuah firma perunding bebas HSSI dilantik melalui tender terbuka bagi membuat penilaian ke atas tuntutan Zenith bernilai RM302 juta.

Setelah penilaian dibuat ke atas tuntutan Zenith, HSSI mendapati hanya RM208 juta yang layak dibayar kepada syarikat itu.

“Jangan kata yang kerajaan negeri ‘pre-sell’ tanah itu kepada RM3 bilion. Itu satu pembohongan.

“Jangan tuduh yang ‘feasibility study’ tak siap, tuduh kita (kerajaan negeri) dah buat bayaran. Kami tak bayar satu sen pun lagi. Kita akan bayar selepas siap dan diserahkan kepada HSSI dulu.

“SPRM dah mula siasat perkara ni sejak 2016. Sudah dua tahun dan sekarang, sebelum pilihan raya tiba-tiba semua laporan, dakwaan keluar,” katanya.

Guan turut mengingatkan bahawa Pulau Pinang satu-satunya negeri yang telah mencipta sejarah dan dipuji oleh Transparency International kerana melaksanakan tender terbuka.