Malaysia Dateline

Guan Eng senarai 6 sebab bidas Takiyuddin

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng membidas kenyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan enam sebab mengapa kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu adalah salah apabila mendakwa perjalanan kerajaan lancar walaupun Parlimen tidak bersidang empat bulan.

Guan Eng berkata, bagaimana sebuah kerajaan boleh dianggap berfungsi dengan baik sedangkan hanya dua daripada tiga cabang perlembagaan persekutuan, iaitu eksekutif dan kehakiman sahaja yang dibenarkan beroperasi.

Tegasnya, perlembagaan persekutuan hanya utuh dan sempurna sekiranya ketiga-tiga cabang itu dapat berfungsi iaitu Parlimen, Eksekutif dan Kehakiman yang merupakan badan terpenting untuk semak dan imbang.

“Menggantung Parlimen, institusi tertinggi dan cabang dalam perlembagaan persekutuan adalah tindakan khianat terhadap demokrasi berparlimen.

“Yang kedua, ketika darurat pada tahun 1969, tidak ada seorang raja yang mengeluarkan titah umum bahawa Parlimen boleh bersidang.

“Tetapi Raja kita yang ada sekarang telah menyatakan bahawa proklamasi darurat yang ada sekarang hanya menangani krisis kesihatan awam Covid-19 dan tidak menghalang Parlimen untuk bersidang dan berfungsi seperti biasa. Tidak mematuhi Raja adalah tindakan jelas ‘lese majeste’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin berkata bahawa perjalanan pentadbiran negara tetap lancar tanpa sebarang masalah biarpun sudah hampir empat bulan Parlimen tidak bersidang.

Beliau membandingkan dengan darurat pada 1969 yang menurutnya ketika itu dua tahun Parlimen tidak bersidang dan ianya tidak menjadi masalah kepada kerajaan itu sendiri.

Malah katanya, Kabinet hari ini sentiasa memberi pandangan berdasarkan fakta dan sains, terutama berhubung ramai kumpulan berisiko di dalam Parlimen kerana Ahli Parlimen dalam kalangan mereka yang warga emas.

Sementara itu, Guan Eng berkata, tidak ada alasan untuk Parlimen tidak dipulihkan dan mesyuarat diadakan, ketika sekolah, pertubuhan perniagaan, gelanggang bahkan stadium sukan dibenarkan untuk dibuka.

Setiausaha Agung DAP itu juga menambah, apa gunanya memberi suntikan vaksin kepada semua Ahli Parlimen dan mempromosikan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 bernilai RM5 juta, jika anggota Parlimen dilarang menjalankan tugas mereka.

“Kelima, Ahli Parlimen dari pembangkang dan kerajaan, termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azalina Othman Said telah menuntut agar kuasa Parlimen dipulihkan segera.

“Yang terakhir, rakyat sendiri mahu Parlimen bersidang untuk mengkaji dan memansuhkan undang-undang keras seperti kenaikan denda kerana melanggar sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk syarikat,” jelasnya lagi.