Malaysia Dateline

Guan Eng tanya Pas: Setahun dalam kerajaan apa dah jadi kes Adib

Ahli Parlimen DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan perkembangan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang terus sepi sejak Pas menjadi antara menteri dan timbalan menteri di dalam kerajaan.

Katanya, dahulu Pas lantang menaikkkan kemarahan rakyat tentang kes ini.

Sekurang-kurangnya beliau berkata, ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), prosiding mahkamah dan inkues telah dilaksanakan.

“Sekarang apa dah jadi? Rakyat berhak tahu. Keadilan perlu ditegakkan!

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sekiranya mereka tak berdaya selesaikan isu ini, lebih baik letak jawatan sahaja,” ciapnya dalam satu hantaran Twitter.

Terdahulu, bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid  meluahkan rasa kecewa kerana pihak berkuasa seolah-olah mengambil sikap sambil lewa dan menganggap kes anaknya itu bukan masalah kepada negara.

Sehingga hari ini, tiada perkembangan terbaru berhubung kes Muhammad Adib biarpun Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun pada Februari lalu memberi jaminan akan mengeluarkan keputusan berhubung kes tersebut.

Kes kematian anggota bomba menjadi antara isu yang dimainkan oleh Umno, Pas serta kumpulan pendesak Melayu sewaktu Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pusat.

Pas juga sebelum ini lantang mendesak PH mengutamakan siasatan terhadap Muhammad Adib kerana kata mereka, rakyat meletakkan harapan tinggi untuk melihat kes berkenaan selesai secepat mungkin bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan.

Bagaimanapun Idrus Harun masih belum mengumumkan keputusan kes berkenaan yang difahamkan sudah berada di peringkat akhir.

Untuk rekod, pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner telah memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak dikenali.