Guan Eng terpaksa perjelas isu Bahasa Mandarin

“Untuk FB rasmi Kementerian Kewangan, pasti BM tetap ada,” jelas Guan Eng melalui twitternya hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan, beliau menggunakan bahasa Mandarin apabila menjawab mesej yang dihantar menggunakan bahasa Mandarin dalam twitter dan facebook beliau.

“Perhatikan sebahagian besar dalam BM dan Inggeris. Hanya sekali sekala dalam Mandarin.

“Untuk FB rasmi Kementerian Kewangan, pasti BM tetap ada,” jelas Guan Eng melalui twitternya hari ini.

Beliau memberikan penjelasan itu ekoran serangan yang datang bertalu-talu kepada beliau kerana menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataannya.

Terbaru, ketua pemuda yang juga calon Presiden Umno Khairy Jamaludin juga mengambil peluang menyerang Guan Eng.

“Tindakan Kementerian Kewangan yang mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin bukan hanya dilihat seperti memberi fokus hanya kepada pengguna bahasa tersebut tetapi juga cuba untuk mengubah norma bahasa yang diguna pakai kerajaan.

“Ini bukan hanya seolah-olah mencabar mereka yang mendukung bahasa rasmi Persekutuan tetapi juga merosakkan usaha menyatupadukan negara dengan satu bahasa bersama,” kata Khairy dalam status di facebooknya.

Bagi beliau, Bahasa Malaysia atau bahasa Melayu dalam Perlembagaan telah ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan antaranya untuk menyemai perpaduan negara melalui bahasa.

Turut mengkritik Lim ialah bos hypermarket Mydin, Ameer Ali Mydin.

“Semua kenyataan apabila dikeluarkan di Malaysia hendaklah terlebih dahulu dalam Bahasa Melayu, kemudian Bahasa Inggeris, selepas itu mana-mana bahasa lain (jika) perlu.

“Sekiranya anda berada di London, maka saya anggap anda akan mengeluarkannya dalam Bahasa Inggeris terlebih dahulu setelah itu terjemahannya boleh dibuat dalam Bahasa/ Bahasa Mandarin/ Perancis dan sebagainya.

“Jika anda berada di China, maka pada sidang akhbar di China, saya fikir mungkin akan dikeluarkan dalam bahasa Mandarin dahulu, kemudian bahasa Inggeris dan lain-lain.

“Saya fikir ini lebih logik. Kami tidak pernah mempunyai masalah sebelum ini (dalam) 61 tahun yang lalu, kenapa buat sekarang?” katanya.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote