Guan Eng tidak mengaku salah, ikat jamin RM1 juta

Guan Eng tidak mengaku salah, ikat jamin RM1 juta

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini dan dikenakan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Pemilik banglo yang beliau beli, Phang Li Khoon juga tidak mengaku bersalah di atas tuduhan dan dikenakan ikan jamin RM200,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua menerima syarat jaminan itu.

Mereka berdua dibicarakan di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Azmi Ariffin.

Walaupun dikenakan ikan jamin, pasport kedua-dua tidak ditahan namun diminta untuk melaporkan diri kepada SPRM dua hari sebelum mereka ke luar negara.

Peguam kedua-duanya tidak membantah syarat jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Pengurusan kes ditetapkan pada 22 September bagi menetapkan tarikh perbicaraan bersama kedua-dua tertuduh.

Semasa di bawa dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi yang berada di blok berlainan pada jam 11.15 pagi, kira-kira 1,000 penyokong Lim berada di perkarangan mahkamah.

Mereka melaungkan nama Lim Guan Eng! Lim Guan Eng!.

PENDAKWAAN

Terdahulu di Mahkamah Sesyen, Guan Eng mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid – satu di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan satu lagi di bawah Kanun Keseksaan.

Beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk kepentingan dirinya dan isteri, Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian kepada tujuan kediaman pada mesyuarat Exco bertarikh 18 Julai 2014.

Seksyen 23 membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Guan Eng juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan itu, beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh kepentingan menerusi pembelian sebuah banglo daripada Li Khoon pada harga RM2.8 juta, iaitu bawah daripada harga pasaran RM4.7 juta pada 28 Julai 2015.

Jika sabit kesalahan, Guan Eng boleh dipenjarakan maksimum dua tahun, denda dan rampasan hartanah.

Pasukan Pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Pasukan pembela Guan Eng diketuai Gobind Singh dan Ramkarpal Singh bersama lapan yang lain.

Apandi kemudian memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan hakim membenarkan permohonan itu dan menetapkan sebutan kes di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Li Khoon didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Guan Eng pada 28 Julai 2015 berhubung pembelian banglo di Jalan Pinhorn.

Li Khoon didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kedudukan Guan Eng sebagai rasuah.

COMMENTS

Wordpress (0)