Malaysia Dateline

Guang Eng anggap “menteri tak kuarantin” rasis

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, cuba mengalih isu dirinya yang tidak kuarantin selepas pulang dari Turki, dengan mengingatkan Lim Guan Eng tentang kes rasuah yang dihadapi pemimpin DAP itu di mahkamah.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan mempersoalkan, mengapa beliau dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menjadi sasaran sedangkan lebih ramai rakan komponen Perikatan Nasional (PN) sendiri yang mendesak agar menteri Pas itu diambil tindakan.

Menurutnya, Khairuddin cuba bertindak rasis kerana kedua-dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) itu adalah Cina.

“Sebenarnya saya tak minat sama kamu pun. Mengapa pula hanya sebut nama saya dan Teresa Kok? Sedangkan ramai yang mendesak kamu didakwa di mahkamah, termasuk kawan kamu sendiri.

“Jangan berpura-pura tak dengar pula. Mengapa rasis sangat hanya sebut saya dan Teresa semata-mata kerana kami Cina?

“Apa yang kami nak ialah apa yang rakyat nak, iaitu menteri tak kuarantin dihukum macam kerajaan hukum makcik gelang pink.

“Keadilan dan kesaksamaan undang-undang. Tidak lebih, tidak kurang,” tegasnya dalam satu hantaran Facebooknya sebagai respon kepada kenyataan Khairuddin semalam.

Semalam, Khairuddin memuatnaik hantaran yang menasihatkan Lim untuk memikirkan kes rasuah yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Beliau berkata, kes rasuah membabitkan isu banglo yang digugurkan rakan baik Lim yang juga bekas Peguam Negara, sudah diketahui seluruh rakyat Malaysia.

“Saya terbaca celoteh uncle Lim Guang Eng. Saya tahu dia dan Teresa sangat berminat dengan saya. Saya rasa baik uncle letakkan tangan di dahi fikirkan kes rasuah di mahkamah yang beliau hadapi sekarang.

“Kes rasuah banglo yang digugurkan oleh rakan baik beliau yang jadi peguam negara sekejap tu, tak payah sebut la sebab semua orang dah tahu. Cuma biasalah kawan-kawan uncle akan diamkan sahaja kerana dia kan macam tokong,” katanya.

Sehubungan itu, Lim mengingatkan semula Khairuddin agar tidak melepaskan geram dengan cara membezakan antara dua kaum.

“Menteri buat dua darjat, tak kuarantin macam rakyat biasa, tak dihukum macam rakyat biasa dan kini pula nak melepas geram pun antara dua darjat.

“Hanya sebut saya dan Teresa Kok. Cukuplah YB Menteri. Insaflah, rakyat sedang memerhati,” katanya lagi.