Malaysia Dateline

Gubal akta, jangan ada lagi agamawan peralat ayat Allah

Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) mencadangkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) mempertimbangkan untuk menggubal satu akta yang melarang penggunaan agama bagi memenuhi kehendak politik.

Beliau merujuk kepada ketidakadilan dan tuduhan melampau yang pernah dilemparkan kepada bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa terutama membabitkan isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Walhal katanya, ketika Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut mengeluarkan kenyataan sama dan bertindak serupa ‘menyantuni’ golongan LGBT, beliau tidak pula dikecam seperti yang dihadapi Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

“Parit Buntar pernah mengulas tentang LGBT bahawa kita perlu mendekati golongan ini dengan berhikmah. Tetapi apa serangan yang beliau terima? ‘Inilah dia Menteri liberal, mati esok kubur berasap dan sekalian ayat Allah yang dilemparkan.

“Apabila Menteri Agama Dr Zulkifli berikan komen dengan pendekatan yang sama dan ayatnya (sama) dengan Parit Buntar, (ianya) tak salah.

“Itu yang saya maksudkan. Tolong jangan gunakan ayat Allah dan hadis dengan sewenang-wenangnya. Tidak setuju dengan kumpulan kita, (label kita) liberal. Mati masuk neraka, kafir mengkafir,” katanya semasa ucapan perbahasan dalam sidang Parlimen semalam.

Justeru kata Timbalan Presiden AMANAH itu lagi, sebagai Menteri Agama yang dihormati statusnya, beliau berharap bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu dapat membuat satu garis panduan jelas supaya tiada lagi mana-mana agamawan menggunakan hadis Nabi untuk mencela orang lain yang tidak sependapat dengan mereka.

“Kita harus bertindak tegas dengan agamawan yang menggunakan ayat Allah sewenang-wenangnya, yang akhirnya akan menumpahkan darah dan memisahkan kita,” kata Salahuddin lagi.