Gubal Akta Pembiayaan dan Perbelanjaan Politik selepas dimuktamadkan ERC

Gubal Akta Pembiayaan dan Perbelanjaan Politik selepas dimuktamadkan  ERC

Cadangan penggubalan Akta Pembiayaan dan Perbelanjaan Politik adalah sebahagian daripada agenda reformasi sistem dan undang-undang pilihan raya yang sedang dikaji oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) dan hanya akan dibawa ke Parlimen sekiranya cadangan tersebut dipersetujui oleh kerajaan.

Ketua Eksekutif ERC Amerul Muner Mohammad berkata, akta itu tertakluk kepada proses penggubalan undang-undang dan persetujuan pihak-pihak yang berkaitan rang undang-undang berkenaan yang akan dibentangkan ke Parlimen selepas tamat tempoh jawatankuasa itu dipertanggungjawabkan untuk merangka mana-mana pengubalan dan pelaksanaan undang-undang serta sistem baharu dalam pilihan raya di negara ini.

“Draf akta tersebut yang sudah disediakan hasil daripada laporan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik ditubuhkan sebelum kerajaan Pakatan Harapan ambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional dan kini sedang diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.

“Jawatankuasa ini bersetuju bahawa Akta Pembiayaan dan Perbelanjaan Politik ini dijadikan sebahagian daripada agenda reformasi pilihan raya di bawah jawatankuasa.

“Adalah tidak wajar sekiranya mana-mana pihak mahu mendesak kerajaan mempercepatkan pelaksanaan akta ini sahaja. Ini kerana untuk merangka sesuatu akta akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah tidak wajar sekiranya pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan terpaksa dibuat satu persatu dan proses yang berulang bagi setiap satu perlaksanaan yang ingin dilakukan.

“Walaupun kita boleh pinda undang-undang tanpa pindaan perlembagaan seperti pendaftaran pengundi atau membersihkan nama-nama dalam daftar pemilih, boleh dilakukan secara procedural dengan membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.

“Sebarang pindaan yang melibatkan struktur kepada sistem dan badan-badan terbabit akan dikemukakan kepada ERC dan jawatankuasa ini akan mencadangkan cadangan termasuk pindaan dan memperkenalkan undang-undang baharu untuk dibentangkan di Parlimen,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline dipejabatnya di Putrajaya.

Loading...

Beliau diminta mengulas kenyataan dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun semalam, berkata laporan pelaksanaan Akta Pembiayaan Politik diletakkan di bawah pengawasan ERC yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Ini susulan desakan dibuat oleh Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Sattar pada Rabu mencadangkan SPR mendesak kerajaan untuk mempercepatkan proses penggubalan dan pelaksanaan akta itu.

Akhbar berkata, dengan adanya akta ini, SPR akan lebih mudah mengambil tindakan sekiranya berlaku salah laku pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Menurut Amerul Muner lagi, perkara penting adalah meningkatkan integriti dikalangan pemimpin politik. Ini bagi memastikan pembiayaan dana politik tidak disalahguna berbanding tergesa-gesa untuk pengubalan akta itu.

“Pandangan saya, apa yang penting sekarang ‘political player’ perlu mempunyai integriti yang tinggi daripada pelaksanaan undang-undang itu sendiri.

“Jika tidak ada undang-undang kita fikir boleh buat apa saja. Itu yang berlaku dalam kes terdahulu, derma politik masuk dalam akaun peribadi walaupun ia tidak menjadi kesalahan dari segi undang-undang tetapi dari segi integriti perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Kita ketirisan integriti.

“Bagi saya perkara ini perlu dibincangkan tetapi perlu jelas apa yang ingin kita mahukan.

“Samada kita mahu persekitaran politik yang bersih atau sebaliknya? Jangan tergesa-gesa kerana akan ada perkara yang tertinggal.

“Kita tiada undang-undang halang derma politik daripada sesiapa pun tetapi sekiranya kita hendak menghalang derma politik kita perlu perkenalkan mekanisma lain bagi membolehkan parti politik memperolehi sumber kewangan bergiat dalam arena politik mereka. Ini kerana kegiatan politik yang sihat adalah asas utama dalam sistem demokrasi,” ujarnya.