Gubal DPTN akan tertubuh Majlis Tahfiz Negara selaraskan peperiksaan, sijil

Gubal DPTN akan tertubuh Majlis Tahfiz Negara selaraskan peperiksaan, sijil

Senario hari ini menunjukkan sesetengah lulusan daripada Institusi Tahfiz tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada mana-mana pihak yang berautoriti.

Kesan daripada itu menimbulkan pelbagai isu dan polimik berkaitan pengiktirafan dan hala tuju lulusan tahfiz.

Sekiranya Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dapat direalisasi oleh kerajaan semasa, akan tertubuhnya Majlis Tahfiz Negara (MTN) di bawah naungan Majlis Raja Raja yang berperanan untuk menyelaras sistem peperiksaan dan persijilan di semua maahad tahfiz seluruh negara.

Ustaz Mohd Dailami Che Age dari Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) antara jawatankuasa yang terbabit dalam merangka dasar, menjelaskan, amat penting kerajaan meletakkan sistem peperiksaan dan persijilan di bawah satu badan bebas berautoriti sepert MTN ditubuhkan, sebagaimana dilakukan di beberapa negara Islam lain.

“Majlis akan berperanan sebagai sebuah badan bebas yang berautoriti untuk menyelaras sistem peperiksaan dan persijilan.

“Penubuhan majlis ini telahpun dilaksanakan di beberapa negara Islam seperti Kuwait, Mesir dan Pakistan yang mengawal selia semua penghafaz al-Quran dan pentauliahan tenaga pengajar dan pengurusan institusi tahfiz.

“Sebaliknya di Malaysia ia masih tidak tersusun sebab itu DPTN penting digubal oleh kerajaan supaya Majlis Tahfiz Negara dapat ditubuhkan di bawah kerangka dasar ini, untuk memperkasakan peranan institusi tahfiz bersepadu di negara kita.

“Jika majlis ini ditubuhkan sijil-sijil tahfiz akan lebih diperakui dan diiktiraf bagi melahirkan ulama, profesional yang terdiri dikalangan hufaz dalam pelbagai bidang kepakaran,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata, lepasan tahfiz walaupun sudah memasuki sektor kerajaan dan swasta tetapi sijil-sijil dikeluarkan Jakim ataupun pengurusan maahad tahfiz masih belum meluas diiktiraf diluar negara. Jika sijil diperoleh pelajar boleh diiktiraf ia satu peningkatan baharu bagi maahad tahfiz di negara ini.

Tambahnya lagi, ia mestilah bermula dengan model pengajaran dan pembelajaran. Pada masa ini ujarnya, kebanyakan maahad tahfiz menerima pakai empat aliran pengajian merangkumi program pengajian tahfiz dan akademik, tahfiz dan pengajian Islam, tahfiz dan kemahiran, tahfiz dan kitab thurat.

“Dengan empat aliran pengajian ini, akan dibentuk model-model tahfiz yang disediakan oleh guru-guru maahad tahfiz dengan Kementerian Pendidikan secara bersepadu dan terarah.

“Ini termasuklah memberikan latihan kepada guru-guru tahfiz. Kita telah adakan perjanjian untuk sijil pengajaran asas al-quran dan sijil pengurusan tadbir bagi mudir dengan kerjasama Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

“Bila ada kursus dan sijil pengajaran yang diiktiraf dari MTN yang diletakkan di bawah Majlis Raja Raja, ia lebih mudah untuk mengawal kualiti guru,” ujarnya.

Baca: DPTN perlu segera bentang di kabinet

Beliau berharap DPTN yang akan dilaksanakan mengambil kira pandangan institusi tahfiz yang terlibat secara langsung dalam merangka sistem pendidikan Islam di negara ini.

“Kita harap dapat sumbang idea dan pendapat agar DPTN terlaksana kelak supaya boleh ditubuhkan MTN yang akan memartabatkan institusi tahfiz di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata dengan adanya MTN dibawah DPTN ini akan memberikan lebih keyakinan kepada ibu bapa kerana usaha kerajaan untuk menyelaras silibus dan mengiktiraf sijil-sijil pengajian maahad tahfiz di negara ini diterima pakai di dalam dan di luar negara.