“Gugur jantung baca mesej suami dengan wanita tudung labuh, hilang rasa hormat aku pada dia”

Oleh WAN SITI AMINAH

Melayari rumah tangga dengan penuh kebahagiaan, seorang wanita langsung tidak menyangka sang suami rupanya menyimpan satu rahsia yang menyakitkan.

Difahamkan, wanita yang dikenali sebagai Intan itu tidak pernah berhadapan dengan sebarang masalah semenjak melangsungkan perkahwinan dengan lelaki dicintainya.

Walau bagaimanapun, segala-galanya mula berubah apabila suaminya itu tiba-tiba ‘buat perangai’ setelah mereka berdua dikurniakan dengan sepasang cahaya mata.

Terbongkar setelah Intan tergerak hati untuk memeriksa telefon suami, berikut kami kongsikan luahan hati isteri yang terdesak mahu menyelamatkan rumah tangganya.

“Nama aku Intan. Suami aku kita gelarkan sebagai Kaca. Kami pasangan awal 30an yang memiliki sepasang cahaya mata. Suami ada pekerjaan yang stabil. Begitu juga dengan aku. Sepanjang berumah tangga, aku dan si Kaca Alhamdulillah, bahagia. Tetapi masa aku mengandung anak yang kedua, suami kantoi.

“Gerak hati isteri apabila tiba-tiba suami tukar kata laluan telefon bimbit. Kau jangan main-main ya, itu sudah masuk kategori mencabar jiwa isteri. Semudah A B C. Dalam sehari sahaja aku teka kata laluan telefon bimbit Kaca. Perkara pertama yang diperiksa adalah aplikasi Whatsapp.

“Aku nampak perbualan dia dengan bekas kekasih merangkap rakan karib semenjak dari tadika. Aku gelarkan dia, Duri. Sebenarnya Duri sudah berkahwin sebelum kami. Awal perbualan nampak okay sahaja. Mereka bertukar pendapat mengenai hal kerja. Tetapi semakin panjang perbualan, Kaca mula keluar ayat-ayat memancing.

“Contohnya, ‘semakin comel sekarang. Tak nak datang sini ke? Boleh kita berjanji temu seperti dahulu. Rindu’. Yang buat hati aku membara, Duri yang berpenampilan seperti wanita Islamik ini boleh tahan melayan. Siap hantar gambar selfie (swafoto) dengan gaya mulut itik, apa kejadahnya.

“Nasib baik seorang tinggal di pantai timur, seorang lagi di selatan. Selepas itu, aku buka akaun Instagram suami. Periksa DM (pesanan secara terus). Nah tudia, si Kaca mengurat dengan wanita bertudung dan juga perempuan seksi tayang badan. Tak banyak perbualan. Sekadar menegur, ‘hai cantik, nak sertai siaran langsung awak’.

“Kemudian aku buka pula aplikasi Telegram. Nauzubillah penuh perempuan seksi, pakai baju dalam dan baju tidur. Komen suami dalam Telegram seperti, ‘besarnya, geramnya’. Apa perasaan aku selepas periksa telefon dia? Perlahan-lahan hilang rasa hormat kepada Kaca sebagai suami.

“Sekarang aku sudah masuk kerja semula selepas cuti bersalin anak kedua kami. Si Kaca masih tak tahu yang dia sudah kantoi. Aku masih buat macam tidak ada apa yang berlaku. Adalah simpan sedikit bukti kegiatan dia. Tak sanggup aku nak simpan bukti banyak-banyak sebab boleh menganggu emosi setiap kali baca.

“Sungguh, aku rasa nak hempuk-hempuk suami sendiri. Aku nak pendapat. Apa yang perlu aku buat? Selama aku kenal suami termasuk pantauan dalam setahun ini, kata-kata mengurat itu sekadar dalam telefon bimbit sahaja. Tolong jangan cadangkan penceraian sebab aku rasa rumah tangga kami masih boleh diselamatkan.

“Macam mana cara untuk hentikan Kaca daripada terus berhubungan dengan Duri? Patutkah aku guna ugutan dengan tunjuk bukti pada ibu mentua yang sangat garang dan menitikberatkan hal agama? Sudah pasti pucat lesi muka suami sebab aku ini menantu kesayangan mentua.

“Apa sekalipun hal yang berlaku sebelum ini, dia yang selalu dimarahi ibu mentua. Tetapi dengan ugutan, langsung tak menjamin Kaca untuk berubah kan? Apa pun, aku akhiri luahan ini dengan ucapan terima kasih untuk komen-komen dan pendapat daripada kalian.

“Aku hargai sangat-sangat. Mungkin ini dugaan kecil untuk aku. Tidak mengapalah, memang dunia ini tempat untuk kita bersusah payah. Jadi kita tempuh sahajalah kan?.” Tulis Intan (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman luahan atas talian.

Baca juga: Selalu jadi ‘port’ selfie, baru tahu cermin dalam lif rupanya ada fungsi keselamatan