Malaysia Dateline

Gugurkan jawatan Duta Khas dari MP Bintulu, gesa DAP

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing sepatutnya digugurkan dari jawatannya sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke China, selepas beliau membuat serangan peribadi menghentam Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, tiada cara lain yang lebih bermaruah selain ahli Parlimen GPS itu juga meminta maaf di dalam Dewan Rakyat Isnin ini atas tuduhan terhadap Pengarah Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata, Tiong yang sudah lima penggal menjadi Ahli Parlimen sejak 1999 seharusnya tahu bahawa Menteri Kesihatan lah patut bertanggungjawab untuk semua perkara yang berlaku di kementerian berkenaan, dan bukannya Pengarah Kesihatan.

YB TIONG KING SING

“Mengapa menyerang Ketua Pengarah Kesihatan tetapi menyelamatkan Menteri Kesihatan. Pasti ada unsur politik yang terlibat.

“Tiong jelas sangat cemburu dengan “sidang media harian” Noor Hisham. Adakah dia bercakap untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain?

“Mengapa dibiarkan Perdana Menteri yang sepatutnya bertanggungjawab atas kerajaannya untuk menangani penularan Covid-19? (walhal) dia adalah Ketua Majlis Keselamatan Nasional yang menangani wabak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Kit Siang berkata, serangan yang dilakukan Tiong mungkin mendapat sokongan penuh dari Umno.

Menurutnya, Tiong bertindak kejam dan terlalu peribadi ketika menyindir bahawa Noor Hisham ingin menjadi Setiausaha Agung Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO)

Beliau juga menganggap adalah satu penghormatan istimewa sekiranya rakyat Malaysia seperti Noor Hisham dilantik sebagai setiausaha agung WHO.

“Jelas, ada orang berfikiran sempit yang berpendapat sebaliknya.

“Tiong King Sing yang harus digugurkan jawatannya sebagai Duta Khas Malaysia ke China untuk tuduhan psu ini,” tegasnya lagi.