Guna bahasa Cina, pemuda Kelantan seru rakyat Malaysia pelihara tulisan jawi

Guna bahasa Cina, pemuda Kelantan seru rakyat Malaysia pelihara tulisan jawi

Tampil berkongsi klip video dirinya, seorang pemuda dari Kelantan menggunakan bahasa Mandarin untuk menerangkan pentingnya seluruh rakyat Malaysia memelihara tulisan jawi.

Muhd. Rizq Abdul Aziz, 32, berkata, pembelajaran seni khat tulisan Jawi di sekolah vernakular tidak akan mengubah identiti orang Cina kepada Melayu.

Beliau berkata, dirinya sendiri masih kekal sebagai orang Melayu bahkan bercakap dalam bahasa Melayu loghat Kelantan serta bahasa Arab walaupun dahulu belajar di sekolah aliran Cina.

“Jadi saya ingin bertanya, jika anda menulis tulisan jawi sebanyak enam muka surat, adakah itu akan mengubah anda dari seorang Cina kepada seorang Melayu?

“Semestinya tidak, bukan? Seperti saya dahulu di sekolah Cina sudah bertahun belajar, kemudian saya juga ada menulis kaligrafi Cina bukan enam muka surat, malah melebihi enam muka surat, banyak muka surat tapi saya masih sama.

“Bukanlah seperti saya dahulu orang Melayu, sekarang dah jadi orang Cina. Saya dahulu seorang Muslim sekarang penganut Buddha, bukan?

“Saya masih sama, dan boleh bertutur bahasa Melayu dengan sangat baik,” katanya.

Diberikan nama Cina sebagai Li Ke oleh gurunya di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Chung Hwa Kota Bharu, Rizq turut membacakan ungkapan bertulisan jawi, “Bank Negara Malaysia” pada wang kertas negara ini.

“Anda semua setuju tak dengan saya kita semua orang Malaysia? Setuju, bukan? Jika setuju saya berpendapat, kita juga sepatutnya bersetuju penulisan jawi merupakan warisan kepada bahasa negara

“Ini bukan warisan Thailand, warisan China, Taiwan atau India. Ini adalah warisan Malaysia.

“Oleh itu, warisan Malaysia siapakah harus bertangggungjawab menjaganya? Jawapannya, rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.

Rizq memuat naik video penjelasan itu berserta sarikata dalam bahasa Melayu pada 9 Ogos lalu. Sehingga hari ini, video tersebut meraih sebanyak 717 perkongsian.