Guna bahasa Mandarin: Diluar norma kebiasaan kenyataan rasmi kerajaan, kata Khairy

Guna bahasa Mandarin: Diluar norma kebiasaan kenyataan rasmi kerajaan, kata Khairy

Jawapan balas Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan terus dipersoal rakyat.

Tidak ketinggalan untuk memberikan reaksi bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini, berkata, tindakan Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin dalam pentadbiran di kementeriannya tidak boleh diterima sama sekali

Jelas bekas Ketua Pemuda Umno itu, bahasa Malaysia atau bahasa Melayu dalam Perlembagaan telah ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan antaranya untuk menyemai perpaduan negara melalui bahasa.

“Tindakan Kementerian Kewangan yang mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin bukan hanya dilihat seperti memberi fokus hanya kepada pengguna bahasa tersebut tetapi juga cuba untuk mengubah norma bahasa yang diguna pakai kerajaan.

“Ini bukan hanya seolah-olah mencabar mereka yang mendukung bahasa rasmi Persekutuan tetapi juga merosakkan usaha menyatupadukan negara dengan satu bahasa bersama,” kata Khairy dalam status di facebooknya.

Jelas Khairy, beliau bukan berniat untuk menghalang penggunaan mana-mana bahasa lain di Malaysia kerana ia adalah hak peribadi namun Kerajaan Persekutuan perlu menjadi contoh dalam memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan negara.

“Jika kenyataan tersebut adalah untuk kegunaan pembaca antarabangsa sekalipun, kenapa tidak kenyataan itu dibuat dalam Bahasa Inggeris sepertimana yang dilakukan Kementerian Kewangan di awal pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan?

“Tanpa sebab munasabah dalam menggunakan bahasa Mandarin, kerisauan saya adalah tindakan ini akan terus meniup api kemarahan kepada segmen majoriti di Malaysia yang sudah sedia ada rasa tercabar sejak beberapa minggu ini,” kata Khairy.

Dalam satu kenyataan berbahasa Mandarin, Setiausaha Agung DAP itu berkata, penggunaan bahasa berkenaan melambangkan pengiktirafan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi.

“Menurut Perlembagaan Persekutuan, tiada mana-mana orang boleh dihalang daripada bertutur, mengajar atau belajar bahasa lain. Atas semangat perlembagaan, apa salahnya mengeluarkan kenyataan media yang diterjemahkan ke dalam bahasa Cina dan bahasa lain?”, tanya beliau.

Menyifatkan para pengkritiknya bersikap “perkauman”, Lim berkata beliau tidak akan tunduk kepada mereka.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS