Guna bahasa mudah orang faham, bahasa Melayu keutamaan urusan rasmi

Guna bahasa mudah orang faham, bahasa Melayu keutamaan urusan rasmi

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat gagal menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang) berkaitan penggunaan bahasa Inggeris terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam taklimat dan operasi pegawai  atasan  pada setiap hari.

Dr Mahathir  secara sinis menjawab “kadang-kadang kita guna Bahasa Arab kerana yang mendengar itu tidak faham dan terjemahannya itu kita tidak tahu betul ke tidak betul.

“Jadi, amat penting sekali apabila kita berhubung dengan orang dalam bahasa apa pun, yang penting dia faham apa yang kita kata. Kalau dia kurang faham, kadang-kadang kita terpaksalah guna bahasa Arab bagi orang yang pandai bahasa Arab.” ujarnya.

Jawapan Dr Mahathir itu dilihat tidak menjawab soalan pokok iaitu mengapa Polis perlu menggunakan Bahasa Inggeris bukan Bahasa Melayu? sebagaimana dipersoalkan oleh Tuan Ibrahim.

Lantas, Tuan Ibrahim bangun sekali lagi menegur Dr Mahathir dengan berkata: “Saya fikir Perdana Menteri tidak jawab soalan. Tolong jawab soalan. Ini Polis Diraja Malaysia. Saya minta Perdana Menteri jawab soalan.” ujarnya.

Dr Mahathir  (PH-Langkawi) turut  menjawab soalan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang meminta penjelasan, apakah  jaminan kerajaan terhadap hak-hak Melayu dan Bumiputera terus terbela seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir berkata,Bahasa Melayu kekal digunakan untuk urusan rasmi walaupun terjemahan dalam bahasa Inggeris perlu mengikut keperluan

“Bagi memastikan bahasa Melayu terus kekal diperkasa dan diguna bagi maksud rasmi, kerajaan telah mewujudkan Pekeliling Perkhidmatan Awam yang terpakai kepada semua agensi Perkhidmatan Awam serta semua Perkhidmatan Awam Negeri, Badan Berkanun Persekutuan, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Berdasarkan pekeliling tersebut penggunaan bahasa kebangsaan bagi urusan rasmi oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri diperuntukkan selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu menentukan (mengambil kira) orang asing yang datang ke Malaysia yang tidak fasih bahasa Melayu untuk memahami apa yang kita katakan.

“Sebab itu kadangkala ada menteri menggunakan bahasa Inggeris atau Tamil atau Mandarin untuk jelaskan, tetapi penjelasan itu tidak dikira sebagai rasmi,” katanya.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote