Malaysia Dateline

Guna Bajet ’23 untuk tangani impak perubahan iklim yang dijangka lebih besar dari Covid-19

Kerajaan diminta menggunakan Bajet 2023 untuk menangani impak perubahan iklim yang dijangka akan memberikan kesan yang lebih besar dari Covid-19.

Sehubungan itu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mencadangkan agar kerajaan menanganinya melalui kerangka dasar dan perundangan yang lebih holistik dan realistik.

“Impak perubahan iklim terbentuk dari berbagai aktiviti manusia yang menjejaskan keseimbangan alam sekitar melalui sikap tamak manusia dan tabiat konsumerisme yang tidak pernah cukup.

“Asas ekonomi yang memenuhi kehendak kekayaan semata perlu berganjak kepada asas ekonomi yang memenuhi kehendak manusiawi sejagat dengan mengambil kira impak alam sekitar, kebajikan manusia dan urustadbir yang beramanah mengendalikan aktiviti ekonomi.

“Menjadi tanggungjawab mandatori untuk bajet 2023 menyediakan kerangka dasar yang menyeluruh untuk menjayakan indikator-indikator impak dalam perlaksanaan dasar pembangunan negara,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Media Pakatan Harapan pagi ini.

Katanya, isu alam sekitar tidak boleh ditangani dalam kerangka berfikir “lepas impak” tetapi ia perlu dilanggani secara “campurtangan sebelum impak” dengan membentuk tapisan dan saringan kepada sebarang bentuk pelaburan dari mana-mana syarikat supaya tidak menjejaskan alam sekitar.

Keseluruhan rantaian perniagaan dari sudut pelanggan, pembekal dan organisasi syarikat perlu mengikut piawaian ‘selamat impak’ ditentukan oleh format yang diperundangkan, katanya.

Guna Bajet 2023 untuk mengawal kemusnahan akibat perubahan iklim, kata Dr Mujahid.

Pengerusi PH Perak itu dipercayai mengulas Bajet 2023 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Bajet 2023 akan dibentang di Dewan Rakyat tiga minggu lebih awal iaitu pada 7 Oktober ini berbanding tarikh asal 28 Oktober.

Selain itu, katanya, impak sosial dari perniagaan perlu diambilkira bukan konsep biasa CSR yang melepas batuk di tangga tetapi keterkaitan aktiviti syarikat dengan masalah sosial yang lebih besar.

Ia termasuklah diskriminasi antara kaum, jurang kaya miskin, soal gender, kualiti kesihatan dan persoalan gender, gangguan seksual dan kebajikan pekerja. Perlu ada piawaian sosial impak dalam kegiatan ekonomi syarikat.

“Bajet 2023 perlu membentuk dasar yang lebih tegas kepada urustadbir korporat, sistem kehakiman yang adil dan bebas serta membebaskan urusan perniagaan dari campurtangan politik.

“Bebas rasuah dalam pemberian kontrak dan mengekalkan sistem tender terbuka bagi memenuhi keperluan merit dan bukan talian kroni,” katanya.

Sudah banyak kes yang membuktikan kegagalan sistem integriti dalam negara ini kerana campurtangan orang politik untuk mendapat habuan supaya meneruskan pembiyaan parti dan penyokongnya.

Akta Pendanaan Parti Politik adalah sebahagian dari pakej besar cara baru pelaburan perniagaan beroperasi dalam Bajet 2023, kata beliau.

Selain itu, katanya, antara cabaran Bajet 2023 ialah mengimbangi keperluan medan baru dan keupayaan fiskal untuk melabur di dalamnya.

Pada waktu yang sama kos perbelanjaan operasi kerajaan yang meningkat akibat ketirisan kerana persoalan integriti seperti isu 1MDB keculasan LTH, kesan kepada LTAT yang kesemuanya dijamin oleh kerajaan.

“Kos ketirisan menyebabkan jaminan kerajaan terbeban sebagai hutang nasional yang menjejaskan kedudukan negara dalam penarafan kredit dunia,” kata beliau.