Malaysia Dateline

Guna dana KWAN: Satu lagi contoh manipulasi darurat dan penggantungan Parlimen

Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) meluluskan undang-undang baharu untuk membelanjakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) diselar sebagai satu lagi contoh memanipulasi proklamasi darurat dan penggantungan Parlimen.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, tindakan itu mengancam masa depan negara dan mengkhianati generasi akan datang kerana dana KWAN sepatutnya menjadi sokongan fiskal masa hadapan apabila sumber asli seperti petroleum telah pupus.

“Hakikatnya, kita tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk generasi akan datang. Sumber petroleum ini terhad dan akan pupus juga pada satu hari nanti.

“Ada anggaran kerajaan yang mengatakan rizab petroleum akan pupus seawal 2029, jika telaga baharu tidak ditemui.

“Kerajaan sepatutnya meningkatkan nilai simpanan KWAN dan bukannya membelanjakan simpanan masa hadapan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) yang membolehkan kerajaan menggunakan dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Mengikut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan PETRONAS.

Ordinan Darurat yang diwarta semalam menambah subseksyen baru ke dalam Seksyen 6 akta itu dengan membenarkan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) .

Pada 31 Mac lalu, kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (Pindaan) 2021 yang mana Perdana Menteri (PM), Ketua Menteri (KM) atau Menteri Besar (MB) diberi kuasa meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Sementara itu, Faiz menegaskan agar kerajaan membatalkan niat menggunakan dana KWAN untuk perbelanjaan kerajaan.

Beliau juga berpendapat bahawa penggantungan Parlimen telah memudahkan kerajaan PN menukar undang-undang sewenangnya tanpa proses semak dan imbang oleh Ahli-ahli Parlimen.

“Jika kerajaan boleh membayar gaji begitu banyak kabinet besar kerajaan PN yang dilihat gagal, sudah semestinya kerajaan boleh mencari dana tambahan tanpa menjarah simpanan masa hadapan,” katanya.